Skip to main content

ERTH wakil Malaysia ke Piala Dunia Keusahawanan

KUALA LUMPUR: Syarikat pemula pengitar sisa elektronik (e-waste), ERTH, muncul pemenang dalam Piala Dunia Keusahawanan Malaysia peringkat akhir sekali gus bakal mewakili negara ke pertandingan sama di peringkat antarabangsa di Riyadh, Arab Saudi pada Oktober ini.

ERTH berjaya menewaskan sembilan syarikat pemula lain dalam pertandingan anjuran Global Entrepreneurship Network yang kini memasuki tahun kedua penganjurannya.

Hadiah disampaikan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan ERTH, Mohamed Tarek, berkata reputasi Malaysia yang mesra perniagaan mendorongnya untuk membuka syarikat pemula di negara ini.

Beliau yang berasal dari Finland berkata, ekosistem syarikat pemula yang kondusif di Malaysia juga menjadi antara sebab mengapa beliau memilih negara ini.

"50 peratus sisa elektronik dunia sebenarnya datang dari Asia dan kami meninjau di sekitar rantau ini, negara yang paling mesra perniagaan di peringkat antarabangsa untuk kami mulakan perniagaan ini.

"Selepas membuat kajian, kami memilih Malaysia kerana ia juga mempunyai pasaran tempatan yang agak baik untuk sisa elektronik yang dianggarkan bernilai AS$1 bilion (RM4.26 bilion) setahun.

"Selepas berjaya membangunkan perniagaan ini di sini, kami merancang untuk mengembangkannya ke luar pula termasuk ke Thailand, Australia dan Belanda," katanya menambah ERTH akan cuba melakukan yang terbaik untuk mengharumkan nama Malaysia di pertandingan itu.

Terdahulu, Mas Ermieyati dalam ucapannya berkata, Piala Dunia Keusahawanan itu adalah pertandingan syarikat pemula terbesar di dunia.

Katanya, pada tahun ini, beliau dimaklumkan bahawa jumlah penyertaan daripada Malaysia telah meningkat sehingga tiga kali ganda daripada tahun lalu.

"Tahniah diucapkan kepada Global Entrepreneurship Network Malaysia kerana dapat menyediakan platform secara konsisten kepada usahawan tempatan untuk dihubungkan dengan rangkaian global.

"Keusahawanan telah menjadi nadi kepada ekonomi negara. Malaysia telah banyak melabur dalam syarikat pemula, dengan kira-kira 0.25 peratus perusahaan berdaftar di negara ini adalah syarikat pemula.

"Kita juga menunjukkan prestasi yang baik dibandingkan dengan negara pesat membangun lain. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Startup Genome, ia meletakkan Kuala Lumpur antara 10 ekosistem syarikat pemula yang pesat membangun terbaik di dunia," katanya.