Skip to main content

ERL lanjut diskaun 15 peratus e-dompet TNG hingga 31 Disember

KUALA LUMPUR: Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) melanjutkan promosi diskaun 15 peratus bagi pembelian tiket menggunakan aplikasi e-dompet Touch 'n Go sehingga 31 Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ERL Noormah Mohd Noor berkata seperti perniagaan sektor perjalanan dan hospitaliti yang lain, jumlah penumpang tren turut terjejas ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"ERL meneruskan pakej bernilai kami dan akan bekerjasama dengan rakan kongsi bagi menawarkan tambang promosi untuk menarik minat mereka," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata awal tahun ini, ERL bekerjasama dengan TNG Digital dengan menawarkan promosi tersebut bermula 1 Januari hingga 30 Jun.

"Sebagai pengangkutan ke lapangan terbang terpantas di bandar raya ini, kerjasama ini menepati misi kami dalam menyediakan perkhidmatan yang cepat, mudah dan harga berpatutan kepada pelanggan kami," katanya.

Para pelanggan boleh menikmati promosi tersebut di KLIA Ekspres dan KLIA Transit, termasuk tambang konsesi atau layari www.KLIAekspres.com/touch-n-go-ewallet-deal untuk keterangan lanjut.

KLIA Ekspres dan KLIA Transit ketika ini beroperasi bersama dari pukul 6 pagi hingga 11.10 malam setiap hari dan jadual akan dikemaskini dari semasa ke semasa serta disesuaikan mengikut peningkatan jumlah penumpang.

"Mana-mana penumpang yang mempunyai suhu badan 37.5 darjah celsius atau lebih tidak dibenarkan masuk. Semua penumpang mesti memakai pelitup separuh muka setiap masa ketika menaiki tren dan sesiapa yang enggan berbuat demikian tidak akan dibenarkan menaiki tren," tambah Noormah.

Sementara itu, kajian perjalanan oleh ERL baru-baru ini melibatkan 657 rakyat Malaysia mendapati mereka akan melakukan perjalanan dengan 35 peratus daripadanya merancang sedemikian sebaik sahaja kawalan sempadan dilonggarkan dan 26 peratus lagi akan berbuat demikian dalam enam bulan akan datang.

"Lebih menarik, hanya 33 peratus daripada responden akan melakukan penerbangan untuk tujuan perniagaan. Ini dapat dikaitkan dengan norma baharu menjalankan perniagaan berikutan pandemik COVID-19. Selebihnya merancang untuk percutian mereka yang seterusnya, dengan satu pertiga mempertimbangkan destinasi percutian domestik," katanya.

-- BERNAMA