--> Skip to main content

Dipenjara tiga tahun kerana video TikTok

KAHERAH: Seorang wanita dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun oleh mahkamah Mesir, semalam selepas didapati bersalah beraksi menerusi video TikTok yang disifatkan sebagai tidak sopan dan mengghairahkan.

Manar Samy adalah pesalah terkini membabitkan peraturan yang melarang selebriti media sosial wanita di Mesir berkongsi video di TikTok atau Instagram.

Tertuduh adalah pesalah keenam dalam tempoh seminggu.

Menurut pendakwa, Manar Samy ditahan awal Julai lalu atas tuduhan berkelakuan tidak sopan, mengghairahkan dan mencetuskan naluri tidak bermoral menerusi video yang dimuat naik di internet.

Pendakwa mendapati video dimuat naik wanita itu dipenuhi aksi tidak sopan yang dibuat dengan tujuan 'melakukan aktiviti pelacuran'.

Menurut sumber kehakiman, hukuman itu boleh dirayu dan ia mencakupi denda sebanyak 300,000 pound Mesir (RM80,607).

Sumber berkenaan menambah, tertuduh dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak 20,000 pound (RM5,314).

Peguam Manar Samy, Hani Basyoni berkata, anak guamnya sudah membayar wang jaminan, namun pembebasan wanita itu ditangguhkan sehingga cuti Aidiladha berakhir, Isnin depan.

Mahkamah menetapkan sesi rayuan pada 15 Ogos nanti.

Hukuman ke atas Manar Samy diputuskan beberapa hari selepas lima lagi selebriti media sosial, Haneen Hossam, Mowada Ao Adham dan tiga yang lain dipenjara dua tahun kerana kesalahan sama. - AFP