Skip to main content

'Dia tanya pekerja restoran cukup tak RM10 nak beli makanan...'

Paparan Twitter Raja Farah tular di laman sosial.

DENGKIL - Tindakan seorang wanita membantu seorang lelaki berbangsa Cina yang tidak mempunyai wang mencukupi bagi membeli makanan untuk cucunya di sebuah restoran makanan segera menarik perhatian warga maya.

Namun bagi Raja Farah Sofea Raja Afiq Zulkifli, 25, bantuan yang dihulurkan bukanlah untuk dirinya bermegah sebaliknya untuk menyebarkan aura positif kepada orang ramai supaya membantu orang lain tanpa memandang bangsa atau agama seseorang itu.

Bercerita lanjut, Raja Farah Sofea yang bekerja sebagai jurutera memberitahu, dia terserempak dengan warga emas atau lebih mesra dipanggilnya pak cik itu di restoran berkenaan pada jam 6 petang, semalam.

"Waktu itu saya berada di luar restoran dan sedang berbual dengan rakan sebelum pulang ke rumah di Shah Alam. Nampak dia naik basikal berhenti depan restoran, terdengar perbualan dia dengan pekerja restoran yang bertanyakan harga makanan mencukupi atau tidak jika hanya ada RM10.

"Pekerja itu menjawab 'snack plate' ada ayam dalam RM16. Lepas dengar macam itu, dia pun beredar. Mungkin wangnya tak cukup," kata wanita tersebut kepada Sinar Harian.

Bersimpati melihat kejadian itu, Raja Farah terus menyapa lelaki tersebut dan memberitahu hajatnya untuk membelikan makanan itu.

"Katanya beli untuk cucu dan bila dengar saya nak belanja, terus muka berubah wajah senyum dan gembira. Dia ucapkan terima kasih beberapa kali dan saya berasa seronok kerana dapat berkongsi rezeki dengan orang lain.

"Saya selalu terapkan dalam diri, kalau kita ada rezeki lebih, kita sedekah kepada orang lain, sebab dalam rezeki kita ada rezeki orang lain. Insya-ALLAH, kalau kita buat baik, ALLAH akan bagi ganjaran yang besar esok hari," katanya.

Perkongsian kisah penuh inspirasi ini tular di laman sosial dan menarik perhatian ramai.

Rata-rata netizen mendoakan kesejahteraan wanita ini dan berharap lebih ramai insan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan tanpa mengira bangsa atau agama.