--> Skip to main content

Dadah punca lelaki langgar, bunuh rakan

BUTTERWORTH: Perselisihan faham berkaitan dadah menjadi motif seorang lelaki bertindak membunuh rakannya dengan melanggar dan memukul mangsa dalam kejadian di taman perumahan dekat Taman Dahlia di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata bagaimanapun siasatan untuk mengetahui motif pembunuhan itu secara mendalam masih diteruskan.

"Buat masa ini, siasatan awal mendapati punca berlaku disebabkan perselisihan faham berkaitan dadah," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek berusia 36 tahun itu kini direman selama tujuh hari hingga Rabu depan untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi semalam, seorang lelaki berusia 43 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh suspek yang memandu kereta sebelum badannya diseret sejauh 15 meter.

Suspek kemudian bertindak keluar dari kenderaannya dan memukul mangsa beberapa kali hingga tidak sedarkan diri.

Akibatnya, mangsa maut di lokasi kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat.

Noorzainy berkata, semakan dilakukan ke atas suspek mendapati dia mempunyai rekod jenayah lampau.

"Mangsa juga didapati mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah," katanya.