--> Skip to main content

COVID-19: Syarikat penerbangan IndiGo berhentikan 10 peratus kakitangan

NEW DELHI: Syarikat penerbangan tambang murah terbesar India, IndiGo mengumumkan pengurangan pekerja 10 peratus selepas mengalami krisis kewangan akibat pandemik COVID-19.

IndiGo yang meningkat dengan pantas menguasai hampir separuh pasaran penerbangan domestik beberapa tahun kebelakangan ini, meraih keuntungan besar berikutan sektor penerbangan tempatan yang berkembang pesat.

Bagaimanapun, syarikat penerbangan itu terpaksa mengambil langkah penjimatan kos termasuk pemotongan gaji dan cuti tanpa gaji bagi mengimbangi kesan ekonomi akibat kesan daripada krisis kesihatan global, yang menutup lapangan terbang dan mengurangkan perjalanan udara.

"Berdasarkan keadaan sekarang, mustahil syarikat kita dapat melalui situasi ekonomi ini tanpa membuat pengorbanan," kata Ketua Eksekutifnya, Ronojoy Dutta dalam satu kenyataan.

"Setelah menilai dan meneliti semua senario, adalah jelas sekali bahawa kita perlu mengucapkan selamat tinggal kepada 10 peratus tenaga kerja kita."

IndiGo mempunyai sekitar 24,000 pekerja, menurut media tempatan.

Syarikat penerbangan di seluruh dunia terjejas terus kesan daripada penularan wabak COVID-19, dengan banyak kes failkan muflis, melaksanakan pemotongan besar atau meminta pemerintah untuk membuat rancangan penyelamatan awam yang besar. - AFP