Skip to main content

COVID-19: Penduduk di Zon Hijau Sarawak usah leka - KM

KUCHING: Penduduk di kawasan dikategorikan Zon Hijau atau bebas wabak COVID-19 di Sarawak, tidak harus leka dengan keadaan itu, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.

Beliau berkata, ini kerana sikap sedemikian dikhuatiri boleh mencetuskan penularan semula pandemik itu.

Justeru, katanya, keadaan sedang berlaku di Kuching ketika ini harus dijadikan iktibar supaya penduduk di daerah lain sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan kerajaan.

Beliau berkata, semua orang tidak mahu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan semula kerana banyak kesulitan akan dihadapi susulan perintah itu.

"Kita sedang berdepan penularan jangkitan COVID-19 dengan Bahagian Kuching dikategorikan semula sebagai Zon Merah kerana jumlah jangkitan yang meningkat kepada dua angka.

"Bagi yang berada di Zon Hijau, saya amat berharap dan berdoa agar anda sentiasa patuh kepada arahan pihak berkuasa serta protokol dikenakan, khususnya penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka, supaya Zon Hijau terus hijau," katanya dalam perutusan sempena sambutan Aidiladha.

Abang Johari berkata, sekatan dan protokol yang dikenakan untuk mengekang penularan COVID-19, membawa banyak kesulitan kepada kehidupan harian, namun ia harus dilakukan demi kesejahteraan semua.

"Janganlah diambil mudah prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan kerana kita perlu mengorbankan segala keselesaan kehidupan yang biasa dinikmati demi keselamatan kita semua daripada COVID-19," katanya.

Selain Kuching yang kini berada dalam Zon Merah, dua bahagian berada dalam kategori Zon Kuning, iaitu Samarahan dan Serian.

Sembilan lagi bahagian di negeri ini berada dalam Zon Hijau, iaitu Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Kapit, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang.

Sementara itu mengenai sambutan Aidiladha, Abang Johari mengajak umat Islam di negeri ini untuk bersama-sama bermuhasabah diri dan menelusuri sejarah para anbia yang sentiasa taat kepada perintah Allah SWT serta sanggup berkorban apa saja demi keredaan Allah SWT.

"Di sebalik sirah Nabi Ibrahim AS, jelaslah bahawa sesungguhnya pengorbanan yang ikhlas dan mendambakan keredaan, akan disusuli dengan bantuan dan pertolongan Allah SWT," katanya.