--> Skip to main content

COVID-19: KKM pantau peningkatan kes selepas perhimpunan penyokong Najib

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memantau sebarang peningkatan kes COVID-19 terutama di Kuala Lumpur susulan perhimpunan penyokong Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak, di perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta, semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihaknya akan melihat dalam tempoh dua minggu jika ada pertambahan kes dan peningkatan mendadak wabak COVID-19.

Beliau berkata, ia boleh dilihat melalui saringan yang akan dilakukan di hospital KKM atau Klinik Kesihatan.

"Untuk semalam, yang itu kita dah tak boleh buat apa sebab dah berlaku. Sekarang ini, untuk tindakan, kita tengok dalam masa dua minggu jika ada pertambahan kes atau tidak. Kita berdoa tidak ada kes.

"Kalau kes meningkat baru kita akan ambil tindakan. Contohnya, kalau kita lihat ada kes positif barulah kita akan buat pengesanan kes aktif dan pengesanan kontak rapat dan sebagainya," katanya ketika sesi soal jawab pada program Libat Urus KKM bersama media.

Terdahulu, ketika diajukan soalan berkaitan, Dr Noor Hisham, berkata ada kemungkinan untuk wujud kluster baharu.

Semalam, Dr Noor Hisham menerusi laman Twitter beliau, membalas ciapan Bernama @bernamadotcom berkenaan satu berita bertajuk 'Ahli Parlimen bimbang wujud kluster baharu', menyatakan perasaan sedihnya dengan apa yang berlaku.

"Sedih bila melihat keadaan begini, tiada kawalan kendiri. Sudah terang lagi bersuluh, setiap hari Kementerian Kesihatan mengingatkan rakyat Malaysia untuk patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) untuk penjarakan selamat sekurang-kurangnya 1 meter, memakai pelitup separuh muka dan kerap cuci tangan," katanya.