--> Skip to main content

COVID-19: 21 negeri di AS diklasifikasikan di Zon Merah

NEW YORK: Laporan kerajaan Persekutuan terbaharu yang disiarkan oleh The New York Times mendapati, 21 negeri di Amerika Syarikat (AS) merekodkan kes COVID-19 yang cukup serius untuk diklasifikasikan sebagai 'Zon Merah' oleh kerajaan.

Negeri yang ditetapkan sebagai Zon Merah adalah yang mempunyai lebih 100 kes terbaharu dalam kalangan 100,000 penduduk pada minggu berakhir 24 Julai lalu.

Senarai negeri berkenaan ialah Alabama, Arizona, Arkansas, California, Florida, Georgia, Idaho, Iowa, Kansas, Louisiana, Mississippi, Missouri, Nevada, Carolina Utara, Dakota Utara, Oklahoma, Carolina Selatan, Tennessee, Texas, Utah dan Wisconsin.

Sehingga kini, hanya Vermont satu-satunya negeri berada di kategori zon hijau dengan kurang daripada 10 kes direkodkan dalam kalangan 100,000 penduduk.

Baki 28 negeri dan Columbia berada di Zon Kuning, namun laporan itu menganggap sesetengah kawasan yang dilanda teruk oleh pandemik itu di negeri berkenaan turut berada di zon merah.

Kerajaan Persekutuan menyediakan laporan secara berkala terhadap tindak balas terhadap COVID-19. Laporan itu yang bertarikh 26 Julai dengan meletakkan profil setiap negara diedarkan kepada pegawai negeri oleh pasukan petugas khas Rumah Putih sebelum diperoleh The New York Times.

Laporan itu mengesyorkan supaya lebih banyak larangan diletakkan di negeri Zon Merah dengan pemakaian pelitup muka secara konsisten disarankan untuk negeri dan bandar yang sedang bergelut dengan pandemik ini.

Pemerhatian terhadap Arizona yang termasuk dalam kategori Zon Merah mendapati bahawa pertumbuhan kes berlaku perlahan beberapa hari ini, dengan laporan itu memuji tindakan negeri itu terhadap usaha sederhana yang agresif dalam pemakaian pelitup muka, penjarakan sosial dan penutupan bar.

Sehingga tengah hari semalam, terdapat lebih daripada 4,390,000 kes COVID-19 dengan lebih 150,000 kematian di AS, berdasarkan rekod Pusat Sains dan Kejuruteraan Sistem (CSSE) di Universiti Johns Hopkins.- AGENSI