--> Skip to main content

Bukit Malut lokasi panas penyalahgunaan dadah

ALOR SETAR: Bukit Malut bukan sahaja sering dikaitkan dengan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menceroboh tanah rizab kerajaan di situ, namun ia juga adalah lokasi panas aktiviti penyalahgunaan dadah.

Pengarah AADK Kedah, Mohd Rizal Tawil, berkata dalam operasi sebulan sekali yang dilakukan bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah, secara purata sekurang-kurangnya 30 penduduk di situ akan dikesan positif dadah.

"Jika operasi itu dibuat berdasarkan aduan orang ramai atau risikan anggota AADK, yakni dalam skala yang lebih kecil, secara purata seramai lima orang akan didapati positif dadah.

"Bukan luar biasa juga untuk melihat dalam 20 orang yang menjalani ujian saringan air kencing, hanya lima sahaja yang negatif," katanya ketika dihubungi.

Mohd Rizal berkata, kebanyakan mereka yang ditahan positif dadah biasanya mengambil heroin dan syabu.

"Kebanyakan mereka yang ditahan berusia antara 19 hingga 40 tahun yang terdiri daripada penduduk yang mempunyai kad pengenalan, PATI serta pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

"Ada antara mereka yang bekerja di laut sebagai awak-awak dan buruh kasar. Mereka menjadikan rumah yang didiami serta kawasan terpencil sebagai 'pot' untuk mengambil dadah," katanya.

Tambah Mohd Rizal, bagi warga tempatan yang positif dadah, mereka akan dihantar untuk menjalani pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik manakala bagi individu yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta pemegang kad UNHCR, akan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.