--> Skip to main content

Bukan Sekadar Guna Nama, Tapi Enak Rasanya! Ini 5 Artis Yang Berniaga Makanan

Semakin ramai pelakon dan penyanyi yang mula melibatkan diri dalam perniagaan terutamanya makanan. Ada yang sudah lama mengusahakannya dan ada yang baru sahaja bermula.

Nama-nama seperti Nabila Huda (Waroeng Isabella), Datuk Fazley Yaakob (Sukasucre Bistro), Fattah Amin (Stalkers Cafe) dan beberapa lagi sudah mempunyai restoran sendiri, namun ada yang lebih selesa untuk berniaga secara atas talian atau dari satu tempat ke satu tempat.

Sebenarnya masih ramai lagi yang menjual makanan secara atas talian, tapi kami senaraikan lima artis yang kami sudah nikmati produk mereka.

Amerul Affendi Pelakon terkenal Amerul Affendi sudah mula terlibat dengan bidang pertanian sejak tahun 2016 lagi tetapi lebih aktif sejak kebelakangan ini.

"Saya mengusahakan projek ternakan ikan patin sangkar Sungai Pahang di kampung halaman, Temerloh, Pahang.

"Sekarang ini kami juga menjual madu kelulut yang juga diternak di tebing Sungai Pahang, Temerloh," kata Amerul yang turut mendapat bimbingan RISDA Temerloh.

Nazia Mustafar Pelakon filem Buli ini kini mengusahakan rendang yang dinamakan Rendang Cinta Hati yang dihasilkan daripada daging tempatan serta daging rusa.

"Rendang daging Cinta Hati dijamin menggunakan daging tempatan. Begitu juga dengan daging rusa yang diperolehi daripada pembekal tempatan.

Menurut Nazia, rendang yang diusahakan hanya memfokuskan kepada daging dan tidak mengeluarkan rendang ayam buat masa ini.

Mimi Ernida Pelakon jelita Mimi Ernida pula mengusahakan serunding ayam dan daging resepi utara yang merupakan resepi ibunya.

"Dibuat fresh dari Utara. Isi daging dan ayam yang sangat padu, secukup rasa serunding yang memang sedap.

"Resepi mama kami dah cuba pasti nak lagi," kata pelakon filem Bulan Dan Pria Terhebat ini.

Hazama & Genervie Kam Pasangan suami isteri, penyanyi Hazama dan pengarah muzik Genervie Kam pula mengusahakan asam laksa Pulau Pinang yang dipanggil Kam Asam Laksa.

Hazama menyokong penuh usaha isterinya sehingga dia sendiri menjadi penghantar asam laksa kepada mereka yang membuat pembelian.

Malah Genervie juga berterima kasih kepada keluarga mertua dan keluarganya sendiri yang banyak memberikan sokongan kepadanya untuk memulakan perniagaan asam laksa.

Sharifah Aryana Pelakon dan jurulatih lakonan Sharifah Aryana juga baru melibatkan diri dalam bidang perniagaan. Bersama tunangnya, Jad Hanif, mereka memulakan perniagaan nasi lemak tradisi.

"Kami baru saja bermula awal Julai dan mendapat sambutan yang sangat baik. Resepi ini adalah resepi keluarga tunang yang dikongsikan turun temurun.

"Nasi lemak dengan daging caramel serta cukup bahan-bahan lainnya dibungkus dengan daun pisang untuk mengekal tradisinya," kata Yana.

Ketika ini mereka hanya melakukan perniagaan pada hujung minggu, tetapi mungkin akan memikirkan untuk melakukannya pada hari lainnya kerana tempahan yang luar biasa.

Ramai lagi penyanyi, pelakon dan selebriti yang sudah menjalankan perniagaan masing-masing di atas talian.

Bukan hanya sekadar makanan, tetapi juga produk-produk lain seperti barangan kecantikan, penjagaan muka dan pelbagai lagi.

Anda boleh mengikuti Instagram berikut untuk mendapatkan jualan mereka: WK Bungalow, Rendang Cinta Hati, Mimi Mom's Kitchen, Kam Asam Laksa dan Nasi Lemak Classic Recipe.