Skip to main content

Bot terbalik: operasi mencari diperluas, dibantu pihak berkuasa Thailand

KOTA BHARU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga lagi mangsa yang hilang dalam tragedi bot terbalik di perairan Kemasin diteruskan pagi ini, dengan diperluaskan lokasi pencarian termasuk mendapat bantuan pihak berkuasa Thailand.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan, Kepten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob, berkata lokasi pencarian diperluaskan sehingga 324 radius berbanding semalam hanya 162 radius.

"Operasi hari ini bermula jam 6 pagi dan kita menggerakkan lima bot dan helikopter. Operasi pencarian akan dilakukan mengikut sektor arus.

"Operasi hari ini turut dibantu pihak berkuasa Thailand. Mereka sanggup menyertai operasi selepas kami meminta bantuan.

"Kita berharap operasi hari ini berjalan lancar dan tiga lagi mangsa dapat ditemui," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 8.30 malam kelmarin, bot yang dinaiki 20 individu termasuk pemancing dan awak-awak terbalik dipukul ribut menyebabkan sauhnya terputus, sebelum dibadai ombak besar dan terbalik.

Susulan kejadian itu, 12 individu berjaya menyelamatkan diri dan lima individu ditemui meninggal dunia iaitu Wan Aminuddin Wan Hussin, 63; Mohd Syafizam Daud, 43; Muhammad Zaki Muhamad Nordin, 32; Pok Ta berusia 50-an dan Shafiq Che Alim, 29, manakala, tiga lagi yang masih hilang hilang iaitu Harun Daud, 60; Arman Ismail, 43 dan Che Wadi Bakar, 40.

Difahamkan, bot terbabit dikatakan berlepas dari jeti Kuala Besar kira-kira jam 3 petang untuk tujuan memancing dan menyandat sotong.