Skip to main content

Bomba selamatkan OKU jatuh dalam perigi

LELAKI warga emas orang kurang upaya (OKU) berdepan detik cemas selepas terjatuh di dalam perigi di Kampung Malim Nawar Tin di Ipoh, kelmarin.

Mangsa, P Ramasamy, 71, diselamatkan anggota Bomba dan Penyelamat yang berjaya menarik mangsa keluar daripada perigi pada 8.05 pagi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) menerima panggilan pada 7.27 pagi yang memaklumkan berhubung kejadian sebelum anggota ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi kami mendapati ada lelaki OKU terjatuh ke dalam perigi sedalam tiga meter.

"Anggota bertindak menaikkan mangsa dengan menggunakan hos kecil yang diikat dengan kaedah loop sehingga mangsa berjaya dibawa naik ke atas dengan selamat," katanya.

Katanya, lelaki berkenaan berjaya dikeluarkan daripada perigi dan mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan luka kecil.

"Operasi tamat sepenuhnya pada 8.05 pagi," katanya.