Skip to main content

Bincang kuarantin 14 hari antara negara dalam gelembung perjalanan

PUTRAJAYA: Kuarantin 14 hari sebelum ke negara dalam gelembung perjalanan (travel bubble) antara cadangan dalam perbincangan dengan negara asing termasuk Australia dan New Zealand.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jika cadangan itu dipersetujui dan dilaksana, ia bermakna mana-mana rakyat dalam gelembung perjalanan perlu menjalani kuarantin kendiri di rumah selama 14 hari serta ujian saringan calitan COVID-19 sebelum memulakan perjalanan.

"Kalau saya nak New Zealand, saya kuarantin, hari pertama saya buat ujian calitan dan hari ke-13 saya buat ujian calitan.

"Jika ujian calitan dan hari ke-13 negatif, saya sudah boleh terbang ke sana. Tidak perlu lagi menjalani kuarantin di negara itu. Namun, perkara ini perlukan kerjasama dengan negara terbabit," katanya ketika sesi soal jawab pada program Libat Urus Kementerian Kesihatan (KKM) Bersama Media di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sempadan negara belum boleh dibuka ketika ini, namun perbincangan mengenainya boleh dilaksanakan ketika ini.

Beliau berkata, ketika ini, perbincangan sudah dimulakan dengan Australia dan New Zealand tetapi kedua-dua negara itu belum bersedia lagi.

Katanya, perbincangan antara kedua-dua negara boleh menyentuh mengenai apa yang patut dilaksanakan atau sebaliknya dan bagaimana ia boleh diperkemaskan termasuk isu pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

"Gelembung perjalanan ini memang kita sudah adakan perbincangan dengan Singapura. Kita pada peringkat melihat SOP kepatuhan dan SOP yang boleh diterima pakai kedua-dua pihak serta bagaimana ia dilaksanakan.

"Bagaimana kita nak uruskan risiko yang bakal timbul daripada gelembung perjalanan. Perbincangan sedang dijalankan dan sekarang ini mungkin dalam peringkat akhir sebelum kita umumkan apa yang boleh dilaksanakan.

"Kita dapati ramai rakyat Malaysia kerja di Singapura dan ramai rakyat Singapura yang datang ke Johor Bahru," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, risiko tetap ada namun apa yang perlu dilihat ialah bagaimana untuk kedua-dua pihak menguruskan risiko itu.

Justeru, katanya, kepatuhan terhadap SOP adalah penting dan bagaimana ia boleh diguna pakai di negara dalam gelembung perjalanan itu.

gelembung perjalanan, Australia, New Zealand, kuarantin kendiri