--> Skip to main content

Bincang isu tarif air di Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR: Isu tarif air di Lembah Klang antara perkara yang akan dibincangkan dalam persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, isu itu terkandung dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri yang diajukan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) kepada Menteri Alam Sekitar dan Air, sama ada kerajaan dapat menjamin tarif air di wilayah itu tidak naik selepas menyerahkan Loji Rawatan Air Langat 2, kepada Pengurusan Air Selangor.

Turut dibangkitkan dalam sesi itu adalah pertanyaan daripada Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang bertanyakan kepada Menteri Kewangan, mengenai status terkini pelaksanaan Program Prihatin dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), dan jika program itu akan diteruskan lagi dengan pengumuman lain yang baru.

Usai sesi itu, tumpuan dijangka terarah kepada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawapan Lisan, dan antara dijangka menjadi perhatian adalah soalan daripada Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH-Johor Bahru), yang meminta Menteri Pengangkutan menyatakan status terkini rundingan antara Malaysia dan Singapura, berkaitan pembangunan Projek Sistem Rapid Transit (RTS) antara Johor Bahru dan Singapura.

Sidang dewan yang memasuki hari keenam hari ini juga akan menyambung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos depan, berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, bagi mengekang penularan COVID-19. – BERNAMA