Skip to main content

Bicara kes bunuh ahli perniagaan mulai 19 November

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan tujuh hari bermula 19 November ini untuk perbicaraan kes bunuh seorang ahli perniagaan yang mayatnya ditinggalkan di perkarangan lobi sebuah hospital di Jalan Ampang pada awal 2019.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid menetapkan tarikh itu ketika kes ditetapkan untuk pengurusan di hadapannya, hari ini.

Sehubungan itu, tarikh perbicaraan ditetapkan 19 hingga 28 November ini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Tariq Hussin Akhtar Husin, 37, dengan seorang lagi yang masih bebas didakwa dengan niat bersama membunuh Harris Morunting, 42, di sebuah rumah di Jalan Seri Putra 2/5B, Bandar Sri Putra, Hulu Langat, di sini antara jam 4.40 petang, pada 2 Januari dan jam 11.25 pagi, 3 Januari 2019.

Tariq Hussin bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan atas pertuduhan itu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Annur Atiqah Abdul Hadi manakala tertuduh diwakili peguam Zamri Idrus.