--> Skip to main content

Bekas wakil rakyat PKR boleh cabar tuntutan parti itu

KUALA LUMPUR: Seramai 20 wakil rakyat yang dipecat daripada PKR sama ada Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), boleh mencabar keputusan parti itu yang menyaman mereka kerana melompat parti.

Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz, berkata tindakan parti menyaman ahlinya kerana melompat parti adalah bertentangan dengan Perlembagaan.

Katanya, perkara itu pernah berlaku membabitkan bekas ADUN dari Kelantan pada tahun 1990-an yang mencabar pemecatan mereka di mahkamah.

"Dulu di Kelantan, ia (peruntukan anti lompat parti) pernah dicabar dan peruntukan sedemikian dikatakan tidak sah oleh mahkamah.

"Ini disebabkan ia dikatakan bercanggah dengan hak berpersatuan. Semua ADUN ada hak menyertai mana-mana persatuan di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas desakan PKR menuntut ganti rugi bernilai RM10 juta seorang terhadap 20 wakil rakyat keluar parti, termasuk daripada bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas Naib Presidennya, Zuraida Kamaruddin.

Ganti rugi itu dikatakan dipersetujui kumpulan wakil rakyat terbabit jika keluar PKR dan menggunakan kerusi mereka bagi kepentingan sendiri serta berlawanan dengan kepentingan parti.

Mahkamah Persekutuan pada 1992 memutuskan peraturan PAS yang menghalang bekas wakil rakyatnya, Nordin Salleh, melompat parti melanggar Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan berpersatuan.

Secara spesifik, Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan menetapkan semua warganegara berhak untuk membentuk persatuan.

Selain Azmin dan Zuraida, MP dan ADUN yang dituntut ganti rugi adalah Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota); Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak); Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal); Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat).

Turut berhadapan tuntutan itu termasuklah Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok), Baru Bian (Selangau) dan Jonathan Yasin (Ranau).

Kalangan ADUN pula adalah Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia), Afif Bahardin (Seberang Jaya), Haniza Mohamed Talha (Lembah Jaya), Daroyah Alwi (Sementa) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Aceh).

Ia termasuk ADUN Pemanis, Dr Chong Fat Full, Datuk Muhammad Jailani Khamis (Rembia); Datuk Abdul Yunus Jamahri (Kuala Kurau); Azman Nasrudin (Lunas) dan Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam).