--> Skip to main content

Batal pas lawatan jangka panjang warga asing gagal bayar kos kuarantin

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen (Imigresen) memberi amaran akan membatalkan pas lawatan jangka panjang terhadap warga asing yang gagal membayar kos kuarantin.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata ia bagi memastikan golongan terbabit tidak menjejaskan usaha kerajaan untuk mengekang penularan wabak COVID-19.

"Mulai 24 Julai lalu, kerajaan mewajibkan rakyat tempatan pulang ke negara ini dan warga asing yang diberi kebenaran masuk, menjalani kuarantin selama 14 hari.

"Bagi warga asing, mereka dikehendaki menanggung sepenuhnya kos kuarantin berkenaan.

"Jika mereka gagal berbuat demikian, kita akan membatalkan pas suami atau isteri kepada warga asing terbabit, Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), Pas Lawatan Ikhtisas (PLIK), Pas Penggajian (Ekspatriat) dan Pas Malaysia My Second Home (MM2H)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Khairul Dzaimee sekali gus menasihati semua pihak supaya mematuhi arahan dan peraturan ditetapkan, selain peka dengan pengumuman terkini daripada agensi kerajaan berhubung langkah pencegahan pandemik COVID-19.

"Mereka yang mengingkari arahan atau gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan akan dikenakan tindakan undang-undang," katanya.