--> Skip to main content

Bantuan fiskal bersasar diteliti

KUALA LUMPUR: Beberapa jenis pendekatan sedang diteliti dengan bank tempatan untuk membantu golongan sasar, selepas tempoh moratorium pinjaman bank berakhir September ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, menjelaskan kemungkinan untuk bank tempatan memberikan lanjutan moratorium atau penangguhan bayaran balik, selepas September masih dalam perbincangan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan dan bank tempatan kini meneliti langkah seterusnya untuk merangka inisiatif atau bantuan fiskal secara lebih bersasar.

"Satu contoh ialah dengan memanjangkan tempoh bayaran, sekali gus mengurangkan jumlah ansuran bulanan, satu lagi contoh, ubah terma dan syarat dan kurangkan kadar faedah.

"Kita juga teliti pemberian pelepasan lain sehingga peminjam stabil, cuma sekarang kita galakkan semua peminjam untuk berjumpa dengan bank atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), selain mendapatkan nasihat mengenai skim penyelesaian pinjaman kecil," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.