Skip to main content

Bantuan bank bersasar bendung peningkatan tinggi hutang tidak berbayar

KUALA LUMPUR: Langkah melanjutkan moratorium serta pemberian bantuan bank bersasar dilihat sebagai strategi ekonomi untuk melindungi negara daripada berdepan krisis kewangan jika berlaku peningkatan mendadak hutang tidak berbayar (NPL), demikian kata penganalisis ekonomi.

Rata-rata ahli ekonomi menyokong langkah itu kerana ia mampu meringankan beban kewangan bagi mereka yang benar-benar terkesan oleh impak negatif penularan COVID-19.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar amat wajar kerana ia mampu mengelakkan bahana ekonomi yang lebih besar berikutan peningkatan individu dan perniagaan yang jatuh muflis kerana tidak mampu menampung segala kos perbelanjaan termasuk membayar hutang kepada bank.

Beliau berkata, jika ramai yang jatuh muflis, institusi perbankan akan terkesan kerana mereka tidak akan mendapat pembayaran balik daripada golongan yang muflis itu dan keadaan berkenaan akan menjejaskan tahap kecairan dan prestasi bank.

Justeru, katanya, perlanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar adalah amat dialu-alukan dan diharap mampu memberi kelegaan kepada golongan tertentu yang amat memerlukannya.

"Saya menyokong keputusan kerajaan untuk melanjutkan moratorium pinjaman kepada golongan tertentu kerana petunjuk ekonomi menunjukkan negara ini masih belum melangkah keluar daripada kemelut akibat pandemik COVID-19.

"Masih ramai individu yang kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan pendapatan. Masih ramai perniagaan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang masih tidak mampu menampung perbelanjaan operasi mereka jika moratorium dihentikan selepas September ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada BH bagi mengulas mengenai pelaksanaan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengulas kesan jika moratorium secara automatik diteruskan, Ahmed Razman berkata, pelaksanaan moratorium secara automatik tidak akan membantu bank kerana keuntungan bank tahun ini akan terjejas, sekali gus menjejaskan pulangan dividen mereka.

"Kita kena faham, pemegang saham terbesar untuk sembilan bank tempatan yang tersenarai di Bursa Malaysia ialah institusi pelaburan berkaitan kerajaan seperti Permodalan Nasional Bhd (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP, Lembaga Tabung Haji, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Khazanah Nasional Bhd.

"Pulangan dividen oleh bank yang rendah akan menjejaskan dividen pelaburan ke atas pencarum dan pelabur institusi ini untuk tahun hadapan. Selain itu, bukan semua individu dan peniaga yang menerima moratorium pada masa ini adalah golongan yang terjejas pendapatannya.

"Mereka ini mampu membayar komitmen bulanan. Justeru, sewajarnya bantuan moratorium ini diberi kepada golongan yang benar-benar memerlukannya dan pihak bank juga mampu mencatatkan keuntungan pada tahun ini yang hasil akhirnya akan memberi manfaat kepada pencarum dan pelabur institusi pelaburan kerajaan," katanya.

Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed yang menyokong langkah berkenaan menyifatkan ia mampu meringankan beban kewangan golongan yang terkesan COVID-19.

Beliau berkata, langkah itu juga dilihat sebagai sebahagian strategi ekonomi oleh kerajaan untuk memberi ruang kepada orang ramai supaya mereka dapat menguruskan aliran tunai mereka dalam jangka pendek.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata langkah yang diumumkan kerajaan itu lebih bersasar dan ia adalah jalan tengah yang rasional kerana mengambil kira kedudukan kewangan institusi perbankan, yang mana moratorium sememangnya ada kesan sampingan dari segi aliran tunai dan keuntungan.

Namun, beliau menjelaskan, kedudukan institusi perbankan masih kukuh dengan tahap kecairan dan kecukupan modal yang tinggi membolehkan institusi berkenaan untuk meneruskan aktiviti perniagaan mereka seperti biasa.

"Bagi rakyat Malaysia yang mempunyai pembiayaan sedia ada dengan institusi perbankan, saya sarankan untuk tampil ke hadapan dan berjumpa dengan pihak bank secepat mungkin sekiranya mempunyai masalah kewangan. Jangan pula berdiam diri kerana ini boleh menimbulkan salah faham oleh pihak bank.

"Sekiranya peminjam datang berjumpa dengan pihak bank dan bersikap telus dalam menerangkan kedudukan kewangan peribadi, maka suatu jalan penyelesaian dapat dicapai seperti penstrukturan dan penjadualan semula hutang sedia ada bagi meringankan beban kewangan. Bagi mereka yang mampu, saya sarankan agar terus membayar seperti biasa," katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi & Politik Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berkata walaupun sudah ada tanda ekonomi semakin pulih, masih ada isi rumah yang masih kehilangan mata pencarian mereka dan peniaga yang belum pulih sepenuhnya daripada kesan COVID-19 terutama PKS, sektor pelancongan dan mereka yang terbabit dalam industri tidak formal.

Beliau berkata, lanjutan moratorium kepada golongan tertentu dan bantuan bank bersasar adalah langkah strategik untuk mengelak daripada krisis kewangan melanda negara akibat peningkatan NPL.

Katanya, langkah sedemikian akan memberi kekuatan kepada ekonomi negara yang berada dalam fasa pemulihan dan seterusnya merangka strategi pemulihan jangka sederhana dan panjang bagi memastikan tidak ada sesiapa yang ketinggalan apabila ekonomi dijangka mula pulih pada suku ketiga dan keempat tahun ini dan seterusnya pemulihan berbentuk 'V' pada 2021.

"Moratorium secara automatik tidak perlu lagi kerana sudah ada tanda pemulihan ekonomi pada ketika ini berbanding sebelumnya," katanya.