--> Skip to main content

Bantuan bank bersasar bantu kontraktor kecil, sederhana - PKMM

KUALA LUMPUR: Lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar dapat membantu kontraktor kecil dan sederhana meneruskan perniagaan mereka ketika berhadapan dengan situasi sukar ketika ini.

Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan, berkata langkah itu turut membantu kontraktor menguruskan kewangan sementara menunggu projek baru.

Beliau berkata, walaupun bantuan sebegini terus diberikan, namun ketiadaan projek berskala besar terutamanya projek kerajaan turut menjejaskan operasi kebanyakan kontraktor bumiputera.

"Lantaran itu kami memohon kerajaan mempertimbangkan lebih banyak projek berskala sederhana atau besar diberikan kepada kontraktor bumiputera.

"Antaranya adalah PKMM berharap kerajaan mempertimbangkan semula mengenai pertukaran kaedah pelaksanan Lebuhraya Pan Borneo daripada kaedah pendekatan rakan pelaksana projek (PDP) kepada konsep konversional.

"Ini kerana perkara itu boleh merencatkan hasrat membangunkan kontraktor bumiputera yang melaksaakan projek berskala besar," katanya kepada BH.

Mohamed Fadzill berkata, PDP yang digunakan dalam pembinaan projek itu sebelum ini memperuntukkan 30 peratus daripada keseluruhan kerja diberikan kepada kontraktor bumiputera.

Beliau berkata, bagaimanapun kuota bumiputera itu tidak diperuntukkan dalam kaedah pelaksanaan berteraskan konvensional ini.

Katanya, bukan saja kontraktor bumiputera mendapat peluang pekerjaan tetapi juga dapat meningkatkan kepakaran dalam pelaksanaan projek lebuh raya.