Skip to main content

Axiata terbit sukuk AS$1 bilion bulan depan

KUALA LUMPUR: Axiata Group Bhd akan menerbitkan sukuk jangka panjang bertempoh 30 tahun bernilai AS$1 bilion (RM4.25 bilion) bulan depan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Izzaddin Idris, berkata empat bank sudah dilantik menguruskan penerbitan sukuk itu iaitu CIMB, Standard Chartered, UBS dan Citibank.

"Sebahagian dana yang diraih daripada terbitan sukuk itu akan digunakan untuk pembiayaan semula (kewangan kumpulan), katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan Axiata yang diadakan pertama kali secara maya di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Axiata, Tan Sri Ghazzali Sheikh Abdul Khalid serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Jamaludin Ibrahim.

Mengulas mengenai rancangan masa depan Axiata, Izzaddin berkata, syarikat telekomunikasi itu komited untuk menjadi peneraju digital generasi selanjutnya menjelang 2023/2024.

Beliau berkata, Axiata akan memanfaatkan sepenuhnya peluang baharu dengan mentransformasikan daripada syarikat yang berpusat telekomunikasi mudah alih kepada syarikat telekomunikasi konvergen digital.

Katanya, pihaknya juga mahu menjadi peneraju dalam kewangan serta pengiklanan digital digital menerusi syarikat miliknya iaitu Boost dan 'ada'.

Bagi perniagaan infrastruktur, Axiata juga katanya mahu menjadi syarikat terkemuka global dengan kedudukan lima terbaik dunia.

Sementara itu, Izzaddin berkata, penularan COVID-19 memberi impak negatif kepada perniagaannya dalam jangka pendek dan sederhana.

Namun, tegasnya Axiata optimis dalam jangka panjang, kumpulan telekomunikasi itu akan meraih manfaat yang lebih baik pasca COVID-19 dipacu peningkatan penggunaan digital.