--> Skip to main content

Arab Saudi sedia rawatan perubatan untuk jemaah haji

JEDDAH: Kementerian Kesihatan Arab Saudi selesai membuat persediaan bagi menyediakan rawatan perubatan bagi jemaah haji yang wukuf di Arafah, hari ini.

Kemudahan kesihatan di Arafat dilengkapi dengan klinik yang dikendalikan oleh doktor keluarga, perunding dalaman dan jururawat yang khusus dalam perawatan intensif, serta pelbagai kemudahan untuk menghadapi kemungkinan strok matahari dan tekanan panas.

Terdapat juga hospital bergerak di Arafah dan klinik bergerak di Muzdalifah sepanjang hari Arafah untuk melayani jemaah haji sehingga mereka berangkat.

Kementerian juga menyiapkan kem bersepadu di Arafah untuk mengasingkan kes yang disyaki COVID-19 bagi mengambil langkah pencegahan.

Pasukan Pertahanan Awamnya, meningkatkan persediaan sama di Mina dan mengambil semua langkah untuk menjaga keselamatan jemaah sepanjang penginapan mereka.

Komander Pertahanan Awam (Haji), Mejar Jeneral Hamoud Al-Faraj, mengesahkan pasukannya sudah bersiap sedia.

"Semua pihak yang terbabit menjalankan tugas mereka untuk menangani segala risiko sepanjang jemaah menunaikan haji ," katanya.

Pada Hari Tarwiyah, kementerian mengumumkan bahawa tidak ada kes COVID-19 yang dilaporkan dalam kalangan jemaah.

Pihak berkuasa Arab Saudi mengehadkan jumlah jemaah untuk mengelak penyebaran wabak COVID-19.

Seorang jemaah wanita dari Macedonia yang sudah enam tahun tinggal di Riyad, Hamide Halimi memberitahu Arab News: "Saya mengimpikan haji sejak saya datang ke sini dan akhirnya ia menjadi kenyataan."

"Dalam kumpulan saya, kami terdiri daripada 20 wanita dan sepanjang pengalaman ini, saya hanya bersama wanita. Dari hotel ke Miqat dan ke Masjidil Haram, semua wanita. Walaupun wanita yang datang bersama suami, mereka harus bersama jemaah wanita. Ini adalah pengalaman yang luar biasa, "katanya.

Halimi berkata, beliau gembira melihat pihak berkuasa prihatin menempatkan wanita paling dekat dengan Kaabah untuk tawaf dan ini memudahkan jemaah menunaikan ibadah sepanjang hari.

Sebelum ini, beliau pernah menunaikan umrah dan berada pada jarak lebih jauh ketika mengelilingi Kaabah kerana orang terlalu ramai.

Kini beliau seakan tidak percaya betapa dekatnya dengan Kaabah ketika melakukan tawaf.

"Inilah saat yang tidak pernah saya sangka dan bayangkan akan terjadi. Semua jemaah mematuhi peraturan dan penjarakan sosial. Setiap kumpulan terdiri daripada 20 hingga 30 jemaah." katanya.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan mencatat 1,759 kes baharu disahkan COVID-19 dengan 272,590 kes keseluruhan. Terdapat 41,205 kes aktif yang masih menerima rawatan manakala 2,063 berada dalam keadaan kritikal.

Arab Saudi mengumumkan 27 kematian baharu akibat COVID-19. Angka kematian kini berjumlah 2,816 orang," katanya.- AGENSI