--> Skip to main content

Arab Saudi hadkan jemaah haji hanya 1,000 orang

RIYADH: Kerajaan Arab Saudi mengehadkan jumlah jemaah haji kepada 1,000 orang sahaja bermula 29 Julai ini, dengan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi mengelak penularan wabak COVID-19.

Pihak berkuasa negara itu mengumumkan ibadah haji yang sebelum ini biasanya dihadiri lebih 2.5 juta umat Islam dari seluruh dunia, dilaksanakan dalam suasana protokol kebersihan yang ketat dengan akses terhad kepada jemaah haji di bawah 65 tahun dan tanpa penyakit kronik.

"Kemuncak ibadah haji iaitu wukuf di Arafah jatuh ialah pada Khamis (30 Julai)," menurut agensi berita SPA yang memetik daripada Mahkamah Agung bahawa Rabu ini adalah permulaan kepada ibadah tahunan itu.

Walaupun pegawai haji mengatakan bahawa ibadah haji terhad kepada 1,000 orang yang sudah berada di negara itu, 70 peratus daripadanya adalah orang asing dan yang lain dari Saudi, manakala beberapa laporan akhbar mengatakan bahawa 10,000 orang mungkin turut mengambil bahagian.

Keputusan mengecualikan jemaah haji yang datang dari luar Arab Saudi adalah yang pertama dalam sejarah moden kerajaan dan mencetuskan kekecewaan di kalangan umat Islam di seluruh dunia, walaupun ramai yang menganggapnya perlu bagi menghindar penyebaran wabak itu daripada menjadi sumber penularan utama.

Manakala jemaah pula akan menjalani ujian COVID-19 sebelum tiba di Makkah dan diminta untuk kuarantin di rumah selepas selesai menunaikan ibadah haji, menurut pegawai kesihatan.

Liga Dunia Muslim yang berpusat di Arab Saudi dan Pertubuhan Kerjasama Islam turut menyokong langkah kerajaan untuk kesihatan dan keselamatan jemaah.

Penurunan jumlah jemaah ini secara tidak langsung memberi kesan kerugian besar kepada ekonomi kerajaan Arab Saudi selain penurunan harga minyak.

Mac lalu, pihak berkuasa negara itu menggantung urusan mengerjakan ibadah umrah di Makkah dan Madinah kepada warga asing termasuk rakyatnya bagi menghalang penularan COVID-19. - AFP