--> Skip to main content

Anugerah Emmy dibuat secara dalam talian

LOS ANGELES: Sehari selepas pencalonan Anugerah Emmy dibuat, Akademi Televisyen memaklumkan kepada calon pendahulu bahawa acara yang dijadualkan pada September itu akan diadakan secara dalam talian susulan pandemik COVID-19.

Pengumuman berkenaan sudah dijangka, berikutan perintah berkurung yang dikenakan akibat pandemik terbabit.

Emmy, anugerah televisyen yang setaraf dengan Oscar akan diadakan pada 20 September depan dan menjadi anugerah utama pertama di Hollywood sejak krisis COVID-19 bermula.

Pengacara program bual bicara tengah malam, Jimmy Kimmel dipilih mengacarakan majlis, yang akan disiarkan secara langsung di ABC.

Dalam surat yang dihantar kepada calon terpilih dan disahkan kandungannya oleh jurucakap Akademi, penganjur berkata keputusan itu terpaksa dibuat berikutan senario semasa.

"Walaupun tidak berpeluang berhimpun bersama, kami turut sedar bahawa dunia hari ini berdepan cabaran yang amat getir.

"Kami akan menghasilkan acara yang sarat dengan nilai kemanusiaan, dan meraikan kuasa televisyen yang membantu menghimpunkan semua orang serta membentuk dunia," kata surat itu ditandatangani oleh penerbit acara dan Kimmel sendiri.

Menurut surat berkenaan, penganjur akan berhubung rapat bersama calon, merakam aksi mereka di rumah dan lokasi lain, bagi membantu acara itu berjaya. - AFP