--> Skip to main content

Amira enggan gimik kontroversi

KUALA LUMPUR: Kurang selesa buat gimik, penyanyi kelahiran Akademi Fantasia 2013, Amira Othman, 27, enggan menggunakan cara berkenaan bagi melonjakkan namanya.

Penyanyi yang popular menerusi lagu Jaga-Jaga itu berkata, dia tidak akan menggunakan gimik sekiranya muncul dengan single baharu.

Bagi Amira, dia lebih mementingkan karya berkualiti dan kemampuan menyanyi secara 'live' daripada sibuk memikirkan cara untuk mencetuskan kontroversi.

"Saya akui, ada yang bertanya, kenapa sudah lama tidak muncul dengan single baharu. Sudahlah tiada lagu, cerita kontroversi pun tiada. Secara jujur, saya pun tidak tahu nak buat apa untuk menaikkan nama.

"Bukan tidak bersetuju dengan gimik, tetapi setiap penyanyi ada cara yang tersendiri. Cuma, jika terlalu ramai artis buat gimik, peminat pun sudah dapat meneka apa yang cuba ditampilkan. Buat masa ini, saya tak terfikir buat gimik.

"Saya mementingkan lagu, bukan sahaja rakaman kena bagus dan berkualiti, tetapi saya mahu mampu menyanyi secara 'live' dengan baik. Ini soal periuk nasi dan kerjaya, kena buat yang terbaik. Jadi, kualiti vokal harus dititik beratkan," katanya kepada BH Online.

Amira Othman agak tertekan berikutan tiada lagu baharu demi memastikan kerjaya nyanyian terus relevan. - Foto IG Amira Othman Amira Othman agak tertekan berikutan tiada lagu baharu demi memastikan kerjaya nyanyian terus relevan. - Foto IG Amira Othman

Memiliki vokal bernada rendah, Amira berkata, itu menyebabkan pilihan lagu yang mampu dinyanyikan sangat terhad.

"Disebabkan itu juga, saya sangat cerewet dalam soal pemilihan lagu hingga lebih setahun tidak memiliki single baharu," katanya. Single terakhirnya menyaksikan kolabarosi Amira bersama adiknya, Irfan Haris menerusi lagu Sambil.

Bagaimanapun, katanya, sambutan terhadap single Sambil sedikit mengecewakan, namun dirinya tidak berputus asa.

"Sebenarnya, saya berdepan dengan masalah mencari karya. Saya terlalu cerewet hingga ada kalanya tertanya juga adakah sikap ini bagus untuk kerjaya nyanyian. Disebabkan cerewet jugalah saya tiada lagu baharu.

"Saya sukakan lagu berentak balada, tetapi peminat lebih menerima lagu berentak 'catchy'. Saya tahu penerimaan peminat bergantung kepada nasib, namun saya dalam dilema adakah perlu mengikut kehendak pendengar atau mengikut naluri hati," katanya yang kini bernaung di bawah syarikat Rocketfuel Entertainment.

Katanya, sebelum ini, dia selesa bergerak sendiri, tetapi disebabkan terlalu lama tidak memberikan fokus kepada nyanyian, terpaksa memilih bernaung di bawah syarikat rakaman supaya lebih terurus.

"Apa yang saya belajar seorang penyanyi kena sentiasa ada 'buah tangan' supaya terus bertahan dalam bidang nyanyian. Tanpa karya, peminat mudah lupa, apatah lagi kehadiran ramai bakat baharu.

"Saya akan cuba memastikan sekurang-kurangnya perlu ada dua atau tiga lagu hit sebagai sokongan selepas melancarkan single terbaharu. Ini bagi memastikan kerjaya nyanyian terus relevan.

"Saya agak tertekan apabila tiada lagu baharu, tetapi insya-Allah, saya dan syarikat rakaman akan menghasilkan single terbaharu selewat-lewatnya, Ogos ini. Setakat ini, kita ada menerima beberapa demo, tetapi Rocketfuel ingin mendengar dan memilih terlebih dahulu," katanya.