--> Skip to main content

Aidiladha: Orang ramai ke Pantai Timur disaran atur perjalanan ikut TTA

KUALA LUMPUR: Orang ramai yang ingin ke Pantai Timur sempena cuti Aidiladha, disaran mengatur perjalanan mengikut jadual cadangan waktu perjalanan (TTA) yang ditetapkan.

Berdasarkan TTA itu, pengguna dari Lembah Klang ke Pahang bermula semalam dan hari ini, disaran memasuki Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) serta Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) pada jam 10 pagi hingga 1 tengah hari atau jam 8 hingga 11 malam.

Bagi ke Terengganu dan Kelantan, pengguna boleh memilih sama ada memasuki LPT dan LPT2 pada jam 6 hingga 10 pagi atau jam 5 petang hingga 8 malam.

Bagi perjalanan pulang ke Lembah Klang pada 1 dan 2 Ogos ini pula, pengguna dicadang melalui lebuh raya sama pada jam 10 pagi hingga 1 tengah hari atau jam 8 hingga 10 malam.

Bagi dari Kelantan pula, pengguna dicadang memasuki lebuh raya pada jam 5 petang hingga 9 malam atau jam 9 malam hingga 12 tengah malam, manakala dan dari Pahang pula, jam 6 hingga 10 pagi atau jam 7 hingga 11 malam.

Bagi waktu perjalanan bas ekspres ke destinasi di Pantai Timur, mereka dicadang memasuki lebuh raya pada jam 9.30 pagi hingga 12 tengah hari atau jam 9.30 malam hingga 12 tengah malam.

Justeru, pengguna kenderaan ringan dinasihatkan mengelak memasuki Plaza Tol Gombak pada waktu terbabit.

Perkhidmatan tambah nilai turut ditutup di lorong tol bermula semalam hingga 3 Ogos ini.

Justeru, pengguna dinasihatkan menambah nilai kad Touch N Go sebelum memulakan perjalanan.