--> Skip to main content

Ahli Parlimen selesai bahas usul menjunjung kasih titah Agong

KUALA LUMPUR: Seramai 128 Ahli Parlimen selesai membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong setelah berakhirnya minggu ketiga persidangan Dewan Rakyat, semalam.

Pelbagai isu dibangkitkan Ahli Parlimen, baik di pihak kerajaan mahu pun pembangkang, antaranya berkaitan wabak COVID-19 dan kesannya seperti masalah pengangguran dan ekonomi, selain isu berbangkit di kawasan Parlimen masing-masing sepanjang perbahasan usul itu yang bermula 14 Julai lalu.

Kesemua isu diutarakan itu dijangka dijawab oleh menteri yang berkenaan apabila persidangan bersambung minggu depan.

Persidangan minggu ini hanya berlangsung tiga hari berbanding empat hari pada kebiasaannya, berikutan sambutan hari raya Aidiladha, pada Jumaat.

Selain itu, isu beberapa Ahli Parlimen yang hadir bersama kumpulan orang ramai di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi memberi sokongan dan mengikuti keputusan perbicaraan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Selasa lalu, mendapat perhatian Ahli Parlimen pembangkang yang mendakwa Dewan Rakyat berdepan risiko kesihatan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun bagaimanapun berkata pihaknya tidak menghalang Ahli Parlimen terbabit menghadiri persidangan Dewan Rakyat, selagi mereka tidak menunjukkan sebarang gejala berkaitan COVID-19.

Turut menarik perhatian sepanjang persidangan minggu ini ialah pembentangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi bacaan kali pertama oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, antaranya bertujuan mengatasi isu pemandu mabuk.

Berdasarkan rang undang-undang itu, hukuman penjara bagi mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian dinaikkan kepada antara 10 hingga 15 tahun, serta denda minimum RM50,000 sehingga RM100,000.

Bagi pemandu yang menyebabkan kecederaan pula, mereka berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM50,000, jika sabit kesalahan. – BERNAMA