--> Skip to main content

Agong, Permaisuri berkenan berangkat ke Majlis Kesyukuran Ulang Tahun Keputeraan Seri Paduka

KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat Sempena Memuliakan Ulang Tahun Keputeraan Ke-61 Seri Paduka di Masjid Sultan Ahmad 1, di sini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka dengan diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, pada jam 6.30 petang tadi disambut oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Turut berangkat ialah anakanda Seri Paduka berdua, termasuk Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah, dan adinda Seri Paduka, iaitu Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah, serta Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Mua'adzam Sultan Ahmad Shah.

Yang turut hadir, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, yang turut memimpin bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat; Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan; barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Pada majlis itu, Al-Sultan Abdullah turut menunaikan solat maghrib yang diimamkan Imam 1 Mohd Khalil Mohd Zari, dan solat hajat dipimpin oleh Imam Besar Datuk Badli Shah Alauddin bagi mendoakan keselamatan serta kesejahteraan Seri Paduka dan memohon Malaysia dilindungi daripada musibah.

Seri Paduka yang berbaju Melayu hijau turut berkenan bertakbir raya bagi Aidiladha yang akan disambut umat Islam di Malaysia, esok. – BERNAMA