--> Skip to main content

ADUN Titi Serong sah sertai BERSATU pada 3 Jun lepas

IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim hari ini, mengesahkan beliau telah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Hasnul Zulkarnain berkata, beliau telah menyerahkan nombor kad keahliannya sebagai tanda diterima menjadi sebahagian daripada parti itu kepada Presiden BERSATU merangkap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di pejabatnya, di Parlimen hari ini.

"Saya telah menghantar borang lewat Mei lepas sebelum disahkan keahlian yang bernombor 00448606 dalam parti itu pada 3 Jun lepas," katanya.

Pada 9 Mac lepas, Hasnul Zulkarnain daripada Parti Amanah Negara (AMANAH) bersama ADUN Tronoh Paul Yong Choo Kiong dan ADUN Buntong A Sivasubramaniam, kedua-duanya daripada DAP mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat Bebas.

Beliau adalah ADUN ketiga menyertai BERSATU selepas ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamahri dan ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Pada 9 Mac, Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal mengumumkan Perikatan Nasional (PN) Perak terdiri daripada UMNO, PAS dan BERSATU mendapat sokongan 32 ADUN bagi membentuk kerajaan baharu, termasuk Nolee Ashilin (daripada Bebas) dan Abdul Yunus (daripada Parti Keadilan Rakyat, PKR) yang membuat keputusan menyertai BERSATU.

Mengulas lanjut, Hasnul Zulkarnain, berkata tindakan beliau menyertai BERSATU kerana melihat kesungguhan dan kepimpinan Muhyiddin dalam menerajui parti itu.

"Saya memilih untuk bersama BERSATU atas sebab parti itu yang menggabungkan kerjasama parti Melayu-Islam dan melihat kesungguhan Presiden parti membawa budaya politik baharu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Menyentuh mengenai penerimaan rakyat di Titi Serong, Hasnul Zulkarnain berkata tindakan beliau menyertai BERSATU juga kerana mahu terus berkhidmat dan memajukan kawasan itu, lebih-lebih lagi dari aspek pembangunan.

"Alhamdulillah, setakat ini, saya telah memberi khidmat sewajarnya sebagai ADUN kerana sebelum ini DUN Titi Serong sedikit ketinggalan daripada arus pembangunan ketika di bawah wakil rakyat pembangkang. Mereka (rakyat Titi Serong) menerima keputusan saya memilih BERSATU dengan positif," katanya.

Ini menjadikan Perak kini mempunyai 59 kerusi DUN dan 33 daripadanya dikuasai Perikatan Nasional, terdiri daripada 25 kerusi BN yang kesemuanya diwakili UMNO, BERSATU (lima) dan PAS (tiga) sementara DAP (16), AMANAH (lima), PKR (tiga), Bebas (satu) serta Gerakan (satu). – BERNAMA