Skip to main content

AADK sokong penggubalan akta baharu

KUALA LUMPUR: Penggubalan Akta Penyalahgunaan Dadah dan Substan 2020 dilihat langkah tepat dalam membantu pemulihan dan rawatan individu yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Akta itu yang bakal menggantikan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283) dapat membantu seseorang itu pulih tanpa perlu dipenjarakan.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah, berkata akta itu berupaya memberi bantuan dalam menangani penyalahgunaan dadah secara holistik.

"Saya setuju ada yang tersilap langkah, dipengaruhi rakan untuk mencuba sehingga lama kelamaan mendorong kepada ketagihan.

"Itu sebabnya di pihak agensi, tidak ada halangan untuk seseorang (penagih) menerima rawatan yang sebaiknya sama ada di pusat pemulihan kita (AADK) atau di pusat pemulihan persendirian dan tidak dimasukkan ke penjara," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Ops Terminal Sempena Perayaan Aidiladha di sini, semalam.

Pada 21 Julai lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dalam sidang Dewan Rakyat berkata, kerajaan akan menggubal akta baharu itu untuk meningkatkan keberkesanan dalam aspek pemberian khidmat rawatan dan pemulihan dadah.

Bagaimanapun, Zakaria berkata, akta berkenaan tidak akan berkompromi dengan individu yang terbabit dalam penagihan dan penjualan dadah.

"Bagi mereka yang menagih dan menjual dadah walaupun secara kecil-kecilan, kita tidak akan berkompromi.

"Mereka ini terbabit dengan jenayah, jadi perlu berdepan dengan undang-undang," katanya.

Zakaria berkata, statistik penyalahgunaan dadah pada tahun lalu menunjukkan seramai 142,000 orang terbabit dalam penyalahgunaan dan penagihan dadah.

"Berdasarkan keadaan semasa negara, kita berada dalam keadaan yang baik berbanding negara luar dengan kes dadah keseluruhan adalah 0.4 peratus.

"Cuma ada negeri yang jumlahnya lebih tinggi seperti di Pantai Timur," katanya.

Dalam pada itu, Zakaria berkata, AADK akan melaksanakan Ops Terminal Sempena Perayaan Aidiladha yang akan diadakan serentak membabitkan 25 buah terminal bas utama seluruh negara bermula semalam.

Operasi bersepadu bagi memastikan pemandu bas ekspres bebas daripada pengaruh dadah sepanjang pemanduan itu dijalankan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selama empat hari termasuk pada 30 Julai dan bersambung pada 4 dan 5 Ogos depan.