Skip to main content

601,000 peminjam, 13,000 PKS tidak ambil moratorium

KUALA LUMPUR: Jumlah peminjam individu yang meneruskan bayaran ansuran pinjaman dan tidak mengambil kemudahan moratorium (opt-out) meningkat kepada 601,000 pada bulan Julai 2020 daripada 331,000 peminjam pada bulan April, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini.

"Manakala jumlah peminjam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memilih untuk tidak mengambil kemudahan ini telah meningkat kepada 13,000 pada bulan Julai daripada 5,000 peminjam dalam tempoh yang sama," katanya.

Tengku Zafrul menambah pelbagai data ekonomi telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang memberangsangkan hasil daripada langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan, pembukaan ekonomi secara berperingkat pada bulan Mei 2020 dan pelaksanaan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) mulai bulan Jun, 2020.

Beliau memberikan beberapa contoh, antaranya eksport negara berkembang 8.8 peratus pada bulan Jun 2020, kepada RM82.9 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM20.9 bilion, nilai tertinggi yang pernah direkodkan.

Indeks Pengeluaran Perindustrian pula meningkat 18.2 peratus pada bulan Mei 2020 berbanding April 2020 dengan sektor pembuatan melonjak 25.9 peratus manakala sektor elektrik meningkat 13.7 peratus dalam tempoh yang sama.

Jualan sektor pembuatan adalah sebanyak RM90.2 bilion bagi bulan Mei 2020, mengukuh 19.1 peratus berbanding bulan April 2020.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan kerajaan sedar bahawa usaha pemulihan dan pembangunan ekonomi masih di tahap awal dan masih ada rakyat dan perniagaan yang memerlukan sokongan tambahan untuk bangun semula.

"Dalam keadaan yang tidak pernah kita alami sebelum ini, kerajaan juga ingin mengelakkan satu keadaan di mana peminjam menghadapi kekangan kewangan yang berterusan apabila berakhirnya moratorium secara am pada 30 September 2020.

"Bagi mereka yang mampu, bayaran balik pinjaman perlu diteruskan mulai 1 Oktober 2020 bagi memastikan kitaran modal yang mampan untuk memulih dan menjana semula pertumbuhan ekonomi negara," kata Tengku Zafrul.

Sehubungan itu, kementerian mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melaksanakan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar bagi peminjam yang benar-benar memerlukannya, katanya dalam satu kenyataan mengenai "Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar" di sini, hari ini.

"Kerjasama berterusan antara kerajaan, Bank Negara Malaysia dan sektor perbankan ini diharap akan menjamin kesejahteraan peminjam dan meneruskan pemulihan ekonomi yang masih sedang berputik," kata beliau.

Terdahulu, Perdana Menteri telah mengumumkan beberapa inisiatif termasuk individu yang kehilangan pekerjaan pada tahun 2020 dan masih belum mendapat pekerjaan baharu, moratorium lanjutan bersasar ini akan diberi untuk tempoh tiga bulan, dengan syarat peminjam membuat permohonan kepada institusi kewangan.

Selepas tiga bulan, institusi kewangan boleh melanjutkan tempoh sekiranya individu masih tidak berjaya mendapat pekerjaan.

Bagi individu yang masih bekerja tetapi gaji mereka terjejas atau berkurangan, bantuan bersasar adalah berbentuk bayaran ansuran yang dikurangkan selaras dengan kadar pengurangan gaji, bergantung kepada jenis pinjaman, katanya.

Bantuan ini adalah untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan dan lanjutan boleh diberikan oleh institusi kewangan tertakluk kepada keadaan gaji semasa individu yang memerlukannya. - Bernama