Skip to main content

5 warga asing ditahan dalam Op Benteng

KUALA LUMPUR: Lima warga asing ditahan atas kesalahan imigresen dalam sekatan jalan raya (SJR) dalam Ops Benteng bagi mengekang kegiatan rentas sempadan dan kemasukan pendatang tanpa izin (PATI) di negara ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan akan terus mengambil tindakan tegas kepada PATI yang membolosi sempadan negara dan mereka yang bersekongkol bagi penyeludupannya.

"Semalam PDRM membuat 62 sekatan jalan raya Ops Benteng dan memeriksa 35,770 kenderaan bagi mengekang kemasukan PATI terutama di lorong tikus.

"Ops Benteng ini membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan agensi lain," katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), di Putrajaya, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan operasi sanitasi awam, Ismail Sabri berkata, sebanyak 14 operasi dilaksanakan semalam membabitkan 69 anggota bomba dan 102 anggota pihak berkuasa tempatan serta agensi lain.

"Semalam, 14 operasi sanitasi meliputi 13 zon termasuk satu zon merah dan empat zon kuning di lapan negeri termasuk lima operasi di Sabah dan dua di Negeri Sembilan serta Sarawak.

"Sejak 10 Mac, Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melakukan 9,436 operasi sanitasi yang merangkumi 143 zon," katanya.