--> Skip to main content

4 lelaki ditahan seludup 1,500 murai kampung

MELAKA: Dua rakyat tempatan dan dua warga Indonesia ditahan kerana disyaki cuba menyeludup keluar kira-kira 1,500 ekor burung murai kampung dianggarkan bernilai RM300,000, di perairan negara di sini, awal pagi tadi.

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah, berkata suspek berusia antara 33 hingga 55 tahun yang menaiki dua bot fiber itu ditahan dalam Op Benteng Laut kira-kira 1.9 batu nautika dari Barat Daya Pulau Besar pada jam 2.15 pagi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati burung murai kampung berkenaan disyaki diseludup ke negara jiran kerana mendapat permintaan tinggi di pasaran negara berkenaan.

"Ketika tangkapan dilakukan, bot peronda Maritim sedang melaksanakan rondaan dalam operasi khas di perairan itu sebelum mengesan dua bot fiber yang berada rapat antara satu sama lain dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas dua bot fiber yang tidak mempunyai nombor pendaftaran itu mendapati 1,500 ekor burung murai kampung ditempatkan di dalam raga cuba diseludup keluar oleh sindiket berkenaan yang bertemu di tengah laut untuk memindahkan haiwan berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati dua warga Indonesia itu adalah pendatang haram.

Katanya, mereka yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2012 dan Akta Imigresen 1959/63 manakala dua bot fiber yang menggunakan enjin sangkut jenis Yamaha 200 kuasa kuda dan Mercury 115 kuasa kuda turut dirampas untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Haris Fadzillah berkata operasi penguatkuasaan bagi membanteras dan menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan Melaka dan Negeri Sembilan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

"Orang ramai boleh menyalurkan sebarang aktiviti jenayah dan kecemasan di laut di talian Pusat Operasi Maritim 06-3876730 dan 999 yang beroperasi 24 jam," katanya. - BERNAMA