--> Skip to main content

2,000 kanak-kanak Yazidi trauma akibat cengkaman Daesh

BAGHDAD: Hampir 2,000 kanak-kanak Yazidi yang dibebaskan daripada cengkaman militan Daesh sejak beberapa tahun lalu masih berdepan trauma fizikal dan psikologi, kata Amnesty Antarabangsa, hari ini.

Dalam satu laporan berdasarkan puluhan temuramah di utara Iraq, kumpulan hak asasi manusia itu mendapati seramai 1,992 kanak-kanak berdepan seksaan, rogol, dan penderaan lain serta tidak menerima penjagaan sepatutnya.

"Walaupun mimpi ngeri itu sudah berlalu, ia masih menghantui mereka," kata Timbalan Pengarah Pasukan Menangani Krisis Amnesty, Matt Wells.

Etnik Yazidi adalah penghuni minoriti di barat barat laut Iraq sebelum kawasan berkenaan jatuh ke tangan Daesh pada 2014.

Menganggap puak Yazidi sebagai sesat, Daesh membunuh ribuan penduduk lelaki daripada etnik berkenaan, menculik wanita dan kanak-kanak perempuan, serta memaksa kanak-kanak lelaki berperang bagi pihak mereka.

Kanak-kanak Yazidi turut dipaksa memeluk agama Islam dan diajar bahasa Arab, selain dilarang bertutur dalam bahasa ibunda mereka, iaitu Kurdish.

Sehingga hari ini, kanak-kanak yang terselamat mengalami beberapa trauma psikologi, tekanan perasaan, tingkah laku agresif serta mimpi ngeri.

Kanak-kanak Yazidi yang ditemuramah tahun lalu di kem penempatan semula di Duhok, barat laut Iraq dilihat berkelakuan amat agresif, berpakaian serba hitam dan bertutur di dalam bahasa Arab sesama mereka, selama hampir setiap bulan sejak dibebaskan.

Seorang daripada mereka, kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun sudah beberapa kali mengugut mahu membunuh diri, kata ibunya.

Sahir, seorang bekas tentera kanak-kanak Daesh berusia 15 tahun memberitahu Amnesty, dia tahu bahawa kekuatan mental amat diperlukan untuk mengatasi trauma itu, namun merasakan tidak mempunyai tempat mengadu. - AFP