--> Skip to main content

15,434 JPKK dan JPKKP di seluruh negara

PUTRAJAYA: Kerajaan akan menambah baik pelaksanaan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, berkata selaras dengan penambahbaikan itu MPKK dan MPKKP akan menjalani penjenamaan semula masing-masing kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP).

JPKK akan dikuatkuasakan di 10 negeri yang ditadbir parti Kerajaan Persekutuan iaitu Johor, Melaka, Perak, Pahang, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Sarawak dan Labuan.

JPKKP pula dikuatkuasakan di empat negeri yang ditadbir pembangkang iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang dan Sabah," katanya selepas perhimpunan bulanan kementeriannya di sini, hari ini.

Turut hadir timbalannya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus.

Dr Abdul Latiff Ahmad bersama timbalannya, Datuk Abdul Rahman Mohamad (dua kiri) dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus (dua kanan)selepas melancarkan buku Memacu Pembangunan Luar Bandar Pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Tahun 2020 ketika Majlis Perhimpunan Bulan Julai Tahun 2020 Kementerian Pembangunan Luar bandar di Putrajaya. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah Dr Abdul Latiff Ahmad bersama timbalannya, Datuk Abdul Rahman Mohamad (dua kiri) dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus (dua kanan)selepas melancarkan buku Memacu Pembangunan Luar Bandar Pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Tahun 2020 ketika Majlis Perhimpunan Bulan Julai Tahun 2020 Kementerian Pembangunan Luar bandar di Putrajaya. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Sebanyak 15,434 JPKK dan JPKKP diwujudkan di seluruh negara membabitkan seramai 128,930 anggota.

Jumlah keanggotaan setiap JPKK dan JPKKP kekal seperti sebelum ini, iaitu masing-masing seorang Pengerusi, Setiausaha dan 11 ahli jawatankuasa menjadikan jumlah keanggotaan seramai 13 orang bagi mengurus tadbir serta melaksanakan program pembangunan kampung.

Abd Latiff berkata, pelaksanaan JPKK dan JPKKP ini membabitkan kos perbelanjaan sebanyak RM163 juta setahun di pihak Kerajaan Persekutuan.

Tempoh pelantikan akan dibuat setiap dua tahun sekali dan senarai calon anggota akan dipertimbang oleh Pihak Berkuasa Melantik iaitu Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi negeri JPKK dan Menteri Pembangunan Luar Bandar bagi JPKKP.

Bagi pelantikan JPKKP senarai calon terlebih dahulu diperakukan oleh Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg).

"Penjenamaan semula JPKK dan JPKKP ini bertujuan memastikan pembangunan di kawasan luar bandar dapat diteruskan dan menjadi penghujung antara kerajaan dan masyarakat kampung," katanya.