Skip to main content

Zidane gembira kehadiran Hazard

Hazard mengawal bola biarpun cuba diasak pemain Eibar. -Foto Getty images

PENGENDALI Real Madrid, Zinedine Zidane gembira dengan kehadiran semula bintang Belgium Eden Hazard dalam saingan La Liga terutamanya ketika membantu kemenangan 3-1 ke atas Eibar di Stadium Alfredo Di Stefano.

Menurut Zidane, Hazard yang diturunkan dalam kesebelasan utama telah beraksi dengan baik pada perlawanan berkenaan selain berjaya menangkis terjahan-terjahan kasar daripada pemain lawan.

Katanya, aksi cemerlang Hazard juga memberikan gambaran pemain berkenaan telah pulih daripada kecederaan buku lalinya hingga terpaksa berehat panjang sejak Februari lalu.

"Kita tahu Hazard kehilangan sedikit rentak permainannya pada peringkat awal perlawanan berkenaan, namun pada akhirnya dia dilihat telah berjaya memberikan aksi terbaik.

"Mereka (pemain Eibar) juga cuba melakukan kekasaran kepadanya dan ia agak membimbangkan.; namun itulah bola sepak. Ketika rehat Hazard berkata, dia dalam keadaan baik, malah gembira kerana telah dikasari pada perlawanan berkenaan.

"Kata-kata itu turut menjadikan kami gembira dengan 'semangat' yang ditunjukkannya pada perlawanan berkenaan," katanya.

Pada perlawanan berkenaan, Toni Kroos membuka jaringan pada minit keempat manakala Sergio Ramos menjaringkan gol kedua pada minit ke-30 sebelum pemain Brazil, Marcelo menjaringkan gol ketiga pada minit ke-37.

Eibar bagaimanapun berjaya merapatkan jurang hasil jaringan Pedro Bigas pada minit ke-60.Sementara itu Zidane berkata, penangguhan saingan La Liga berikutan pandemik Covid-19 sejak Mac lalu telah memberikan peluang kepada Hazared untuk pulih dari kecederaan yang dialaminya.

"Ia adalah perlawanan yang berbeza berbanding perlawanan yang pernah kami alami sebelum ini dan ia perlu diterima. Kami memulakan perlawanan dengan baik, namun ia sangat sukar pada babak kedua.

"Bagaimanapun saya lebih suka melihat kepada permainan kami pada babak pertama. Ia dominan dan ia juga kemenangan yang penting," katanya.