Skip to main content

Wasiat untuk Moti, Rani

NEW DELHI: Pelik namun itu yang berlaku di sebuah perkampungan di timur Bihar apabila seorang lelaki lebih rela mewariskan 2.5 hektar tanahnya kepada dua gajah berbanding kepada isteri dan anak-anaknya.

Akhtar Imam, 50, dipetik AFP memberitahu menukar wasiatnya dan menyerahkan tanah itu buat gajah kesayangan yang dinamakan Moti (mutiara) dan Rani (permaisuri) kerana bakti mereka ketika menyelamatkannya daripada penjenayah tahun lalu.

"Saya tidak mahu Moti dan Rani susah, mereka tiada bezanya dengan keluarga saya.

"Malah, saya juga tidak sanggup jika kedua-duanya ditakdirkan menjadi yatim piatu atau gajah yang ditinggalkan mati di jalanan mahupun di padang terbiar kerana tiada penjagaan baik," katanya seperti dilapor The Guardian.

Imam berkata, dia ada meninggalkan sebidang kecil tanah dan rumah untuk isteri serta anaknya, namun mereka tidak berpuas hati.

"Mereka tidak faham gajah bukanlah barang pameran bagi saya. Hubungan saya dengan kedua-dua gajah ini kekal sepanjang hayat, kami saling menyayangi," katanya.

Dia yang mengusahakan pusat perlindungan hidupan liar memelihara Moti berumur 20 tahun dan Rani, 15, selepas kematian ibu malah, setiap gajah itu mempunyai dua kakitangan yang akan menjaga siang dan malam selain dibiar bebas bergerak di kawasan rumahnya.

Dia berkata, cintanya terhadap gajah berkenaan semakin mendalam selepas diselamatkan ketika penjenayah bersenjata cuba membunuhnya ketika dia sedang tidur pada 2019.

"Saya hidup hari ini kerana kedua-dua gajah yang bertindak seperti pengawal peribadi saya," katanya.