Skip to main content

Warga Bangladesh didenda rai hari jadi Messi

SERAMAI 15 warga Bangladesh dikenakan denda kerana menyambut hari lahir bintang bola sepak Argentina, Lionel Messi ketika perintah berkurung akibat pandemik Covid-19.

Majistret diiringi pihak berkuasa menyerbu sebuah kafe di bandar Damurhuda semalam dan mendapati mereka yang berusia antara 17 hingga 32 tahun meminum kopi dan kek sebagai tanda meraikan ulang tahun kelahiran ke-33 bintang bola sepak itu yang dilabel sebagai wira di Bangladesh.

Setiap seorang daripada mereka dikenakan denda sebanyak AS$1.15 (RM4.92) kata majistret, Firaz Hossain manakala pemilik kafe didenda sebanyak AS$70 (RM299).

"Mereka melanggar arahan penjarakan sosial dan menyambutnya pada lewat malam," kata Hossain.

Kerajaan Bangladesh ketika ini sedang melaksanakan arahan perintah berkurung sejak Mac lalu.

Negara itu setakat ini merekodkan seramai 1,582 kematian membabitkan keseluruhan 122,000 kes namun ada yang meramalkan angka itu lebih banyak.

Bola sepak sangat popular di negara itu meskipun ramai warga Bangladesh meminati pasukan dan pemain dari luar negara.