Skip to main content

Warga asing tak dibenarkan berniaga di pasar malam, pagi, bazaria

WARGA asing tidak dibenarkan berniaga dan bekerja di pasar malam, pasar pagi, pasar terbuka dan bazaria di Negeri Sembilan sebaik dibuka secara berperingkat Isnin ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong berkata, larangan itu adalah antara prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk tempoh masa dibenarkan oleh kerajaan negeri.

Katanya, pasar pagi akan bermula 6 sehingga 11 pagi, pasar malam mulai jam 4 petang sehingga 10 malam dan bazaria bermula 5 petang hingga 11 malam.

"Penganjur dan persatuan yang menguruskan pasar berkenaan perlu memastikan ada kakitangan yang membuat saringan suhu terhadap pengunjung selain menyediakan aplikasi QR kod dan MySejahtera untuk rekod kehadiran.

"Lokasi pasar perlu diadakan di kawasan terbuka atau kawasan berpagar, manakala laluan masuk dan keluar, mengikut garis panduan ditetapkan pihak berkuasa tempatan

(PBT).

"Penganjur atau persatuan peniaga perlu berbincang dengan PBT supaya dapat mencapai kata sepakat sekali gus tidak berlaku pelanggaran SOP ditetapkan," katanya ketika

dihubungi hari ini.

Sebelum ini Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan bahawa semua operasi pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam serta bazaria di seluruh negara dibenarkan dibuka semula bermula 15 Jun ini.

Mengulas lanjut, Kok Seong berkata, PBT di semua daerah akan mengadakan sesi pertemuan dengan peniaga dan persatuan peniaga bagi memperincikan SOP yang ditetapkan.

Beliau berkata, kerajaan negeri membenarkan jarak sosial minimum 1.5 meter dilakukan walaupun Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengesyorkan jarak dua meter.

"Saya sudah berjumpa dengan wakil peniaga dan penjaja di mana mereka mencadangkan jarak antara gerai ialah satu meter sahaja, namun jarak yang kita tetapkan adalah 1.5 meter.

"Peniaga perlu memakai pelitup muka manakala pengunjung perlu amalkan penjarakan sosial dan elakkan membawa kanak-kanak berumur 13 tahun ke bawah.

"Kakitangan PBT akan memantau di setiap premis di pasar berkenaan bagi memastikan semua pihak mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya.