Skip to main content

UTC Tawau kena serbu selepas 3 bulan ditutup

SELEPAS ditutup hampir tiga bulan, Pusat Transformasi Bandar (UTC) Tawau diserbu orang ramai selepas pusat sehenti yang menempatkan pelbagai agensi itu membuka kaunter perkhidmatan untuk semua urusan bermula hari ini.

Tinjauan wartawan mendapati kakitangan setiap agensi memantau pelanggan masing-masing bagi memastikan mereka mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan termasuk menjalani saringan suhu badan sebelum memasuki pintu premis jabatan.

Selain itu, pelanggan juga diwajibkan memakai pelitup muka serta penggunaan sanitizer dan mengamalkan penjarakan sosial satu meter.

Kakitangan Khidmat Pelanggan UTC Tawau Imran Moksin berkata, orang ramai mula berhimpun di aras bawah bangunan itu seawal jam 6.30 pagi walaupun operasi di kaunter hanya dibuka pada jam 10 pagi.

Bagaimanapun, katanya, keadaan terkawal berikutan persediaan awal yang dibuat sebelum ini termasuk meletakkan papan tanda, notis dan laluan khas.

Pengunjung, Hassan Tonda, 55, berkata, dia tidak kisah beratur panjang bagi mendapatkan tarikh temujanji di Jabatan Pendaftaran Negara kerana tidak mahir menggunakan Internet.

"Kad pengenalan saya rosak, ada masalah cip dan mahu menukar gambar. Saya tidak kisah menunggu lama asalkan urusan dapat diselesaikan," katanya.

Seorang lagi pengunjung, Ali Akbar, 30, berkata, dia hadir di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan bagi menyelesaikan urusan pertukaran nama hak milik kenderaan terpakai yang baharu dibeli.

"Alhamdulillah, urusan hari ini selesai dan berjalan lancar walaupun terpaksa menunggu lama berikutan kehadiran ramai orang," katanya.