Skip to main content

"UPKO tidaklah terjejas sangat" - Presiden UPKO

KOTA KINABALU: Meskipun dua wakil rakyat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengumumkan untuk keluar parti dan menyokong Perikatan Nasional (PN) hari ini, Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menegaskan parti itu masih kukuh.

Malah UPKO akan terus memainkan peranan penting sebagai rakan kongsi dalam kerajaan campuran di Sabah.

"Kami menghormati keputusan mereka untuk meninggalkan UPKO seperti yang mereka umumkan.

"Untuk ketika ini, kami belum mendapat apa-apa pemberitahuan secara rasmi atau bertulis.

"Yang jelas, setelah menghubungi pemimpin kami di lapangan, UPKO tidaklah terjejas sangat," katanya dalam kenyataan media mengulas tindakan dua wakil rakyat daripada parti itu yang mengumumkan keluar parti pada Isnin.

BACA: Dua ADUN UPKO tinggalkan parti, jadi wakil rakyat bebas

BACA: Keluar UPKO: 'Kami mulakan gendang dipalu, ramai akan ikut' - ADUN Sugut

Dua wakil rakyat itu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu, Datuk Limus Juri dan ADUN Sugut, Datuk James Ratib yang menyatakan mereka kini merupakan ADUN Bebas.

Limus merupakan Naib Presiden UPKO dan Ketua Bahagian UPKO Beaufort manakala James yang memenangi kerusi itu dengan tiket UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebelum menyertai UPKO pula memegang jawatan dalam Majlis Tertinggi UPKO.

"Saya telah meminta Timbalan Ketua Bahagian UPKO Beaufort, Nelson W Angang yang juga merupakan Setiausaha Agung UPKO untuk menjalankan tugas sebagai  pemangku ketua bahagian berkuatkuasa serta merta.

"UPKO Beluran dibawah kepimpinan Ketua Pemuda UPKO, Felix Joseph Saang kekal mantap kerana James tidak memegang apa-apa jawatan dalam bahagian itu.

"Apa pun, saya telah memanggil satu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi UPKO dalam sehari dua ini," tambah Madius lagi.