Skip to main content

[UPDATE] Mangsa kemalangan 2 rakan baik

"DIA ada beritahu mahu keluar makan di Genting Highlands bersama rakan baiknya namun tidak sangka dia meninggal dunia selepas terbabit kemalangan," kata ibu kepada lelaki dikenali sebagai Nasfaridzuan, 23.

Nasfaridzuan dan rakannya, Mohd Zain Azraie, 29, meninggal dunia pada kemalangan di Kilometer 26.7, Lebuhraya Karak selepas Nissan Fairlady dinaiki terbabas sebelum terbakar.

Ibu mangsa yang enggan dikenali berkata, dia mengetahui yang Nasfaridzuan terbabit kemalangan apabila menghubungi telefon bimbit anaknya itu.

"Kira-kira 2 pagi, saya hubungi Nasfaridzuan namun ia dijawab oleh orang lain dan mengatakan dia terbabit kemalangan.

"Mereka berdua memang kawan baik, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka sering keluar bersama," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari'at berkata, kejadian 1.20 pagi tadi menyebabkan Nissan Fairlady berkenaan terbalik sebelum terbakar.

"Kereta dinaiki mangsa yang datang dari arah Genting Highlands menghala ke Plaza Tol Gombak hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan sebelum terbakar.

"Pemandunya tercampak keluar manakala penumpang rentung akibat tersepit dalam kereta yang terbakar," katanya dihubungi.

Azman berkata, kedua-dua mangsa berasal dari Klang, Selangor dan bekerja sendiri. Mereka dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita berkaitan: