Skip to main content

Tujuh bintang Chelsea bakal dijual

CHELSEA dijangka melepaskan beberapa pemain utamanya selepas berjaya mendapatkan Timo Werner dengan harga £53 juta (RM226j).

Penyerang RB Leipzig yang menjaringkan 25 gol dalam aksi Bundesliga musim ini bakal menandatangani kontrak lima tahun bernilai £9 juta (RM38j) setahun.

Selain berminat mendapatkan pemain Leicester, Ben Chilwell, Blues juga memburu khidmat penyerang Sassuolo berusia 23 tahun, Jeremie Boga yang menghabiskan masa sembilan tahun di Stamford Bridge sebelum berpindah kembali ke kelabnya sekarang dua tahun lalu.

Chelsea mempunyai klausa belian balik ke atas bintang versatil itu yang menjaringkan lapan gol dan empat bantuan jaringan dalam 24 penampilan musim ini.

Kelab itu dijangka melepaskan sayap Sepanyol, Pedro menerusi yuran percuma dengan Roma dipercayai mendahului persaingan mendapatkannya.

Sayap Brazil, Willian yang bakal berusia 32 tahun itu juga dijangka meninggalkan kelab selepas tidak bersetuju dengan kontrak baharu.

Ketibaan sayap Ajax berusia 27 tahun, Hakim Ziyech pada 1 Julai bermakna pengurus, Frank Lampard mempunyai lebih banyak pilihan dalam kalangan pemain muda.

Chilwell menjadi sasaran menggantikan pertahanan kiri, Marcos Alonso manakala pemain tengah, Jorginho beminat bekerja semula dengan pengurus Juventus, Maurizio Sarri yang menjadi bosnya ketika di Napoli.

Bekas pengurus Chelsea, Jose Mourinho juga berminat bersatu semula dengan pertahanan, Kurt Zouma yang dianggarkan bernilai £25 juta (RM135j).

Spurs pula mahu menstruktur semula pertahanan mereka dengan Jan Vertonghen dijangka berpindah secara percuma pada musim panas.

Pengurus West Ham, David Moyes juga sudah lama berminat dengan pemain tengah, Ross Barkley. Pengendali dari Scotland itu pada Januari lalu berkata dia menaruh harapan untuk mendapatkan khidmat pemain tengah England itu yang bersamanya di Everton sebelum Barkley berpindah ke London.

Hammers turut dilaporkan mahu mendapatkan penyerang, Michy Batshuayi tetapi pemain Belgium itu turut menarik minat Newcastle dan Crystal Palace.

Sementara itu, kehadiran Werner memperkasakan jentera depan Chelsea untuk cabaran musim depan.

Bulan lalu, penyerang Perancis, Olivier Giroud melanjutkan kontraknya setahun lagi di samping kontrak Ziyech bernilai £37 juta (RM200j) yang dilengkapkan pada Februari lalu.