Skip to main content

Transaksi hampir RM26 juta ke dalam akaun Yayasan Akalbudi ikut undang-undang

KUALA LUMPUR: Sembilan pegawai bank memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin bahawa 40 transaksi wang berjumlah hampir RM26 juta yang diterima Yayasan Akalbudi menerusi cek serta draf permintaan adalah tidak menyalahi undang-undang.

Wang tersebut diterima Tetuan Lewis Co yang merupakan pemegang amanah yayasan itu yang dimiliki Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Perkara itu dimaklumkan sembilan saksi daripada beberapa bank iaitu Mar Sai Chin, 49; Lina Zailan, 32;  Lau Ai Mai, 46; Suzaliza Kamari, 44; Sharifah Shifah Syed Zainol, 56; Mohd Zulkarnain Ab Latiff, 40; G. Jayachantran, 42; Au Lai Ban, 51; dan Wong Shiau Phing, 44.

Begitupun, seorang saksi, Yusri Md Kasri, 49, yang juga pegawai bank  hanya menjawab 'tidak tahu' ketika diajukan soalan sama.

BACA: Mahkamah tetap 15 Jun sambung bicara Presiden UMNO

Mereka berkata demikian ketika pemeriksaan balas peguam Haziq Dhiyauddin Razali yang mewakili bekas timbalan perdana menteri itu, bertanyakan adakah transaksi berkenaan pelik dan menyalahi undang-undang.

Kesemua saksi masing-masing turut bersetuju dengan peguam itu  bahawa transaksi yang dilakukan di Maybank, CIMB Bank, RHB Bank, Public Bank dan Hong Leong Bank itu adalah prosedur biasa yang maklumatnya direkod, tidak tersembunyi dan boleh dikesan.

Dalam pada itu, ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong, semua saksi bersetuju dengan cadangannya bahawa jawapan mereka menyatakan transaksi itu tidak menyalahi undang-undang adalah berdasarkan dokumen-dokumen yang disediakan di mahkamah.

Terdahulu, semua saksi memberitahu mahkamah bahawa cek berkenaan diterima daripada tiga individu dan enam syarikat iaitu Cergas Murni Sdn Bhd, HRA Teguh Sdn Bhd, MYEG Sdn Bhd, Chia Bee Enterprise Sdn Bhd, Kiosk Solutions Sdn Bhd dan MTM Networks Sdn Bhd antara 29 Mac 2016 dan 26 Mac 2018.

Mereka berkata demikian pada hari ke-21 perbicaraan kes Ahmad Zahid, 67, yang berdepan 12 pertuduhan pecah amanah membabitkan dana Yayasan Akalbudi, lapan pertuduhan rasuah berhubung pemberian kontrak pembekalan cip pasport kepada beberapa syarikat dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.