Skip to main content

Tonggak import 'berkurung' di Terengganu

SELAIN lega kerana dapat menjalani latihan di padang walaupun dalam suasana normal baharu, pengendali Terengganu FC II (TFC II), Roshadi Wahab turut gembira kerana semua tonggak importnya berada di Terengganu.

Bekas pertahanan Terengganu itu berkata, kehadiran semua pemainnya penting dalam memastikan kelancaran latihan selepas berakhirnya tempoh 'berkurung' hampir tiga bulan bagi memutuskan rantaian wabak pandemik Covid-19.

"Saya lega kerana semua empat tonggak import akur berada di sini (Terengganu), jika mereka pulang sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pasti sukar buat mereka untuk kembali semula kerana perlu merentas negara, lagipun mereka perlu menjalani latihan di kediaman masing-masing dengan pemantauan jurulatih melalui penghantaran video.

"Dengan adanya semua pemain import dan tempatan ianya bakal melicinkan lagi strategi dan latihan yang akan diadakan sedikit masa lagi selain memudahkan pihak pengurusan memantau mereka jika ada perkara berkaitan," ujar Roshadi yang berkeyakinan semua pemainnya termasuk tonggak import Bruno Suzuki, Dechi Marcel, Jordan Mintah dan Argzim Redzovic tidak berdepan masalah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Ketika ditanya permulaan latihan bagi skuad The Turtles itu, Roshadi yang dibantu legenda bola sepak Terengganu, Sapian Wahid menjelaskan perlu menunggu isyarat daripada Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) terlebih dahulu.

"Setakat ini badan induk bola sepak negeri belum memutuskan lagi bila kami boleh memulakan latihan kerana perlu menunggu 'lampu hijau' daripada badan pengelola, Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

"Jadi pemain serta jurulatih harus bersabar walaupun saya sendiri begitu teruja untuk turun ke padang selepas begitu lama tidak menendang bola dan harapan saya pemain mampu mengekalkan kecergasan kerana kita menyasarkan untuk menjuarai liga musim ini lebih-lebih lagi hanya piala itu satu-satunya menjadi rebutan pasukan Liga Perdana selepas Piala Cabaran musim ini dibatalkan," katanya.

Sebelum ini MFL menyatakan empat perkara yang wajib dilakukan sebelum memulakan latihan bagi pematuhan SOP sebelum pasukan dibenarkan untuk turun ke padang bermula 15 Jun ini.

Pertama perlu menjalani ujian swab dan keputusan hendaklah diserahkan kepada MFL selepas disahkan oleh doktor pasukan, kedua perlu melantik seorang pegawai penyelaras untuk memantau pematuhan SOP di peringkat pasukan, ketiga pasukan wajib menamakan pusat latihan yang mesti diadakan di tempat tertutup manakala yang terakhir tempat latihan wajib didaftarkan melalui pautan notification.miti.gov.my (MITI).