Skip to main content

Tolong patuh SOP jika tak mahu timbul masalah

JANGAN jadi nila yang merosakkan susu sebelanga, sebaliknya pengusaha kedai gunting rambut perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Ini kerana selepas tiga bulan tidak beroperasi, kelonggaran yang diberikan kerajaan melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dimanfaatkan dengan mematuhi SP disediakan.

Seorang pengusaha kedai gunting, Mohd Noor Fakruddin Mohd Fuad, 23, berkata kepercayaan yang diberikan tidak boleh disia-siakan apatah lagi ketika kerajaan sedang mencegah penularan wabak Covid-19.

"Selepas tiga bulan menunggu akhirnya kedai gunting rambut boleh beroperasi dan perasaan ini amat lega kerana mata pencarian yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dapat diteruskan.

"Jadi, apabila diberi kelonggaran tolonglah ikut apa jua SOP ditetapkan dan jangan kerana seorang buat masalah semua yang menjalankan perniagaan ini terpaksa menanggung akibatnya," katanya.

Mohd Noor Fakruddin kini menjalankan perniagaan kedai gunting rambut di Cheras, Kuala Lumpur dan memiliki cawangan di Butterworth.

Semalam, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) melaporkan hanya 15 peratus sahaja pemilik premis perniagaan gunting rambut patuh pada SOP yang ditetapkan.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud, berkata ia berdasarkan pemantauan yang dijalankan pada hari pertama pelaksanaan PKPP.

Menurutnya, kebanyakan premis didapati tidak membuat penjarakan sosial, ketiadaan cecair pembasmi kuman, tidak meletakkan tanda harga yang ia akan mengelirukan pengguna dan tidak mengambil rekod nama serta nombor telefon pengguna untuk tujuan pengesanan kontak sekiranya wujud kluster baharu.

Dalam pada itu, Mohd Noor Fakruddin berkata, dia diberitahu bahawa masalah bekalan membeli alat perlindungan diri (PPE) menjadi faktor kepada tukang gunting negeri itu tidak mematuhi SOP.

"Saya diberitahu bahawa kebanyakan tukang gunting di Pulau Pinang tidak dapat mematuhi SOP buat sementara waktu kerana mereka tidak dapat membeli peralatan seperti yang diperuntukkan," katanya.