Skip to main content

Tok Mat harap kes main takraw selesai

PRESIDEN Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail berharap agar isu lapan lelaki yang ditangkap ketika sedang bermain sepak takraw dapat diselesaikan secepat mungkin.

Menurutnya, beliau sudah berbincang dan mendapatkan penjelasan daripada Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah mengenai perkara berkenaan.

"Saya ucap terima kasih kepada Tuan Adzli di atas penjelasan mengenai isu itu dan beliau sendiri menerangkan penangkapan dibuat kerana ada perkara yang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP).

"Namun, saya harap perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin. Saya juga dengan rendah diri memohon jasa baik pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berwajib agar dapat memberi kemaafan kepada lapan orang berkenaan dengan memberi amaran memandangkan ini kecuaian mereka yang pertama. PSM tidak sekali-kali menyalahkan PDRM dalam konteks ini," katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Beliau juga meminta semua persatuan negeri membuat kenyataan dan juga melakukan pemantauan terhadap penggiat sukan sepak takraw negeri khususnya jurulatih dan pemain di negeri masing-masing agar sentiasa mematuhi SOP.

"Bagi pihak PSM, saya mengucapkan terima kasih dan penghargaan kami kepada PDRM dan semua 'frontliners' yang bertungkus lumus selama ini bagi memerangi Covid-19. Maka itu, saya merayu kepada semua rakyat Malaysia khususnya warga sepak takraw untuk bukan sahaja sekadar menyokong usaha kerajaan akan tetapi juga untuk sama-sama berusaha dan membantu memutuskan rantaian Covid-19 ini."

Setakat hari ini, skuad sepak takraw kebangsaan diketuai Pengarah Teknikal PSM, Abdul Talib Ahmad sentiasa memantau dan memberikan tugasan kepada pemain yang melakukan latihan di kediaman masing-masing.

Dalam pada itu, PSM juga juga akan menyediakan SOP rasmi untuk dibawa kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi dipanjangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) demi membolehkan mereka menganjurkan saingan liga sepak takraw (STL) pada awal September 2020.