Skip to main content

'Selamat tinggal Lang Merah'

TONGGAK utama pertahanan Kedah, Azmeer Yusof melakukan kejutan apabila membuat pengumuman mengundurkan diri daripada skuad Lang Merah.

Pengumuman pemain berusia 30 tahun menerusi laman Instagram miliknya itu sekaligus menjawab tanda tanya mengenai berita seorang pemain utama Kedah yang memberi bayangan akan menamatkan kontraknya bersama Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) kira-kira dua minggu lalu.

"Assalamualaikum, dengan ini saya mengumumkan pengunduran saya dari pasukan Kedah, dan keputusan ini bukanlah kerana masalah gaji, tetapi kerana saya ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada bidang perniagaan saya.

"Saya doakan yang terbaik buat pasukan Kedah dan semoga pasukan ini terus mencipta kejayaan di masa akan datang.

"Ampun maaf dipinta kepada semua pihak seandainya kehadiran saya ke bumi Jelapang Padi tidak dialu-alukan. Sesungguhnya yang baik itu datang dari Allah, yang buruk datang dari diri saya sendiri," katanya

Azmeer yang mewakili Kedah pada dua musim iaitu 2016 dan 2019, juga memohon maaf disebalik pengundurannya dari pasukan dan mengharapkan penyokong Kedah agar tidak kecewa dengan tindakan yang diambilnya.

"Kepada semua penyokong bola sepak Kedah FA, teruskan memberi sokongan kepada pasukan Kedah kerana tanpa kalian, bolasepak tiada ertinya. Maafkan saya, saya akan sentiasa rindukan sorakan

kalian.

"Saya bukan bekas pemain Kedah dan saya bukan 'legend' anda, tapi saya adalah sahabat kalian dan doakan segala urusan saya untuk membina Pusat Pengajian Islam Azmeer Yusof di Alor Setar tercapai dengan izin Allah.

"Maafkan saya dengan keputusan ini. Pulun Kedah Pulun!," katanya.