--> Skip to main content

Tindakan Israel ceroboh, rampas tanah Israel tidak sah - PBB

GENEVA: Tindakan Israel merampas tanah Palestin selepas menceroboh secara haram di Tebing Barat adalah menyalahi undang-undang dan boleh membawa akibat yang mengundang bencana.

Ketua Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Michelle Bachelet, mengeluarkan amaran itu dan turut menggesa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menghentikan rampasan tanah di Tebing Barat dan Lembah Jordan.

"Rampasan tanah ini, baik 30 peratus daripada Tebing Barat ataupun lima peratus, adalah tidak sah, muktamad," katanya.

Beliau turut mendesak Israel untuk mendengar nasihat mantan pegawai kanan dan jeneral sendiri, serta banyak suara di seluruh dunia yang menggesa supaya tindakan itu tidak diteruskan.

Kecaman antarabangsa terhadap tindakan Israel makin meningkat berikutan negara Yahudi itu cuba melaksanakan langkah pertama dalam pelan damai Asia Barat yang dicadangkan Amerika Syarikat (AS).

Usul Presiden AS, Donald Trump, yang ditolak secara terang-terangan oleh rakyat Palestin, membuka jalan untuk merampas bahagian penting di Tebing Barat.

Ini termasuk penempatan yang sudah diceroboh sebelum ini dan dianggap menyalahi undang-undang oleh majoriti masyarakat antarabangsa.

Bachelet turut mendesak Israel untuk berubah hati dan memberi amaran bahawa kesan akibat rampasan itu akan kekal selama beberapa dekad dan amat memudaratkan Israel serta rakyat Palestin.

Bagaimanapun, Kementerian Luar Israel, dalam satu kenyataan, meluahkan kemarahan terhadap Bachelet dengan menuduh ini bukan kali pertama beliau bersikap berat sebelah dan cuba mempolitikkan isu terbabit menentang Israel.

"Sejak kebelakangan ini, Israel hilang kepercayaan terhadap kemampuannya untuk mempromosikan hak asasi manusia di wilayah kami secara adil.

"Malah, Israel sudah memutuskan hubungan dengan Bachelet sejak Februari lalu," kata seorang jurucakap Kementerian Luar Israel. - AFP